Penyerang Southampton, Che Adams berdarah Malaysia?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Aksi di antara Southampton menentang Manchester City pada pagi tadi dikejutkan dengan jaringan jarak jauh 35 meter oleh Che Adams membuatkan penjaga gol, Ederson terkapai-kapai kelemasan.

Jaringan tunggal itu sudah memadai untuk menumpaskan The Cityzen kendalian Pep Guardiola yang cukup rakus ‘berkenduri’ gol ketika menumpaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Liverpool pada jumaat lalu.

Dengan tidak semena-semena, nama penyerang muda Southampton, Che Adams yang menjaringkan gol epik itu menjadi sebutan para netizen termasuk kalangan orang Malaysia.

 

“Che Adam ni orang Malaysia ke?” tanya seorang follower Facebook La Bola Malaya.

Pertanyaan itu ada asasnya memandangkan nama Che ini cukup sinonim dalam kalangan orang Malaysia terutamanya di kawasan pantai timur.

Malah nama Adam juga tidak asing dalam kalangan lelaki di Malaysia apatah lagi kalau digabungkan kedua-duanya menjadi Che Adam.

Bagaimanapun, (ejaan sebenar dengan aksara ‘s’) Che Adams bukanlah orang Malaysia. Penyerang The Saints yang berketinggian 1.75 meter ini adalah kelahiran Leicester, England.

Merupakan antara pemain muda England yang sedang meningkat naik dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-24 pada 13 Julai kelak.

Bermain di pelbagai pasukan ketika zaman remajanya, Che Adams mula menempa nama ketika bermain bersama Birmingham City dari Ogos 2016 sehingga Jun 2019.

Posisi kegemarannya adalah selaku penyerang utama atau pemain tengah menyerang.

Sepanjang tiga tahun bersama Birmingham City, Che Adams telah mengumpul 34 gol daripada 116 penampilan liga.

Statistik itulah yang menarik perhatian kelab EPL, Southampton untuk mendapatkan khidmatnya.

Dilaporkan yuran perpindahan Che Adams bernilai £15 juta dan dia diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain The Saints pada julai 2019.

Seperkara lagi, gol epik dari jarak 35 meter tersebut merupakan gol pertamanya sejak menyarung jersi Southampton setelah tampil sebanyak 25 kali dalam saingan EPL musim 2019-20.

Akibat daripada kemarau gol sebelum ini, Che Adams nyaris-nyaris dipinjamkan ke kelab Liga Kejuaraan, Leeds United kendalian Marcelo Bielsa pada januari lalu namun pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl menegaskan Che Adams masih dalam perancangannya.

Foto: Southampton FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.