‘Penyerang Takut Pergi Dekat Halim Napi’

Halim Napi
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Karakternya bagi saya agak jarang dijumpai di dalam mana-mana pemain kerana begitu tegas di atas padang malah kehadirannya di gawang selalu membuatkan pemain lawan gerun.

“Kalau bola dalam situasi 50-50 mahu pun 70-30 sekali pun, saya selalu lihat mana-mana penyerang takut untuk pergi dekat dengannya kerana mereka tahu dia memang sukar digugat serta agresif dalam mendapatkan bola.”

Demikian pendapat penjaga gol berpengalaman luas, Khairul Fahmi Che Mat mengenai penjaga gol legenda Kelantan, Halim Napi.

Khairul Fahmi atau dikenali Apek mengakui Halim Napi adalah idola serta menjadi sumber inspirasinya ketika di awal pembabitan karier sebagai pemain bola sepak.

Malah pengalaman mendapat tunjuk ajar pada musim 2009 daripada Halim ketika di Kelantan kekal menjadi kenangan manis buat Khairul Fahmi yang terus mengorak langkah dalam kariernya selepas itu sehingga menjadi penjaga gol nombor satu Harimau Malaya selama hampir lapan tahun.

“Halim memang merupakan idola saya sejak kecil lagi dan selalu ikuti kariernya dengan penuh minat sebelum tanpa disangka akhirnya dapat menjadi rakan sepasukan pada tahun 2009.

“Saya juga bertuah mendapat tips dan nasihat ketika kami masih bergelar rakan sepasukan, walaupun caranya agak garang seolah-olah seperti memarahi saya tetapi saya faham itu adalah cara orang lama mengajar malah segala yang diajarnya masih diingati sampai hari ini,” katanya yang menyenaraikan Halim Napi dalam senarai kesebelasan terbaik pilihannya.

Halim Napi yang merupakan penjaga gol terkenal di era 90-an pernah mewakili Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak sebelum bersara pada 2009. Dia dikenali sebagai penjaga gol panas baran dan kini dia adalah jurulatih penjaga gol Kelantan United.

Pemain lain dalam kesebelasan pilihan Khairul Fahmi adalah lapan bekas pemain Kelantan iaitu Zairul Fitree Ishak, Daudsu Jamaluddin, Obinna Nwaneri, Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Badhri Radzi, Norshahrul Idlan Talaha dan Dickson Nwakaeme. Dua pemain lain adalah Muslim Ahmad dan Safiq Rahim.

Sementara itu, Khairul Fahmi menyifatkan Badhri Radzi yang lebih dikenali sebagai Piya sebagai antara pemain tengah terbaik di Liga Malaysia ketika di kemuncak prestasi.

“Segala hantaran dan dan cubaan dari Piya sentiasa menghasilkan keajaiban kepada pasukan dan jika dahulu kalau bola sampai kakinya, kami semua tahu pasti akan sesuatu boleh terhasil.

“Hantaran lolosnya sentiasa punyai visi dan cukup berkualiti, mengenai aspek teknikalnya, saya rasa semua orang sudah tahu ketika dia membantu Kelantan memenangi beberapa kejuaraan, ” katanya.

Foto : Kelate.net

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.