Penyerang Vietnam sasar skor 3 gol lawan Indonesia, Malaysia dan UAE

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mahu jaringkan lebih daripada tiga gol dalam setiap perlawanan yang berbaki.

Bunyinya agak ambitious tetapi itulah sasaran diletakkan penyerang Vietnam, Nguyen Tien Linh di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu bulan depan.

Nguyen Tien Linh setakat ini telah menjaringkan dua gol di pusingan kelayakan – satu masing-masing ketika menewaskan UAE dan Indonesia – dan dia tekad melebarkan jumlah jaringannya seterusnya membantu Vietnam mara ke pusingan berikutnya.

“Semua orang tekad dapatkan keputusan yang bagus untuk Vietnam. Misi saya dan pasukan ialah membantu Vietnam mendapatkan sekurang-kurangnya 4 hingga 6 mata untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

“Malaysia dan UAE mempunyai barisan pemain yang kuat. Mereka turut dibarisi oleh pemain naturalisasi dan beberapa muka baharu yang berkualiti. Tetapi kekuatan terbesar Vietnam ialah kami tidak takut dengan mereka.

“Secara peribadi, saya sudah menjaringkan dua gol di pusingan kedua kelayakan. Bilangan gol untuk skuad kebangsaan tidak banyak. Oleh itu, saya menyasarkan untuk menjaringkan lebih banyak gol dan cuba mendapatkan lebih 3 gol dalam satu perlawanan,” katanya dipetik dari Bongdaplus.

Skuad kendalian Park Hang-seo itu telah pun tiba di Dubai, UAE pada Rabu untuk membiasakan diri dengan keadaan cuaca panas sehingga 43 celsius.

29 pemain telah dibawa termasuk dua tonggak utama yang tidak mempunyai minit permainan pada musim ini dan sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif iaitu Doan Van Hau dan penjaga gol, Dang Van Lam.

Sebagai rekod, Vietnam kini berada di kedudukan teratas Kumpulan G dengan 11 mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Mereka akan menentang Jordan dalam aksi persahabatan pada 31 Mei.

Vietnam akan memulakan aksi kelayakan pada 8 Jun menentang Indonesia, sebelum turun menentang Harimau Malaya pada 11 Jun dan menutup tirai dengan menentang UAE pada 16 Jun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.