Penyesalan Andik, tolak kelab Jepun dan Amerika demi gaji besar di Liga Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap lincah Indonesia, Andik Vermansyah mendedahkan dalam satu temubual, penyesalan terbesar dalam kariernya adalah menolak peluang beraksi di Amerika Syarikat dan Jepun sebaliknya memilih untuk menerima tawaran gaji lumayan dari kelab Liga Malaysia.

Pemain berusia 29 tahun itu bermain dengan Selangor selama empat musim dari 2014 hingga 2017 dan kemudiannya Kedah pada tahun 2018.

Namun sebelum itu, Andik Vermansyah ada menerima tawaran daripada kelab Major League Soccer (MLS) iaitu DC United dan kelab dari J-League, Ventforet Kofu.

Bagaimanapun, gaji yang ditawarkan oleh dua kelab ini cukup kecil berbanding kelab dari Liga Super, Selangor yang menawarkan gaji yang lebih lumayan dua kali ganda.

“Ada tawaran dari Malaysia. Sebenarnya ada juga dari Jepun dan Amerika. Tetapi saya ambil dulu di Malaysia. Terus terang, saya menyesal juga. Waktu itu saya ingat dapat wang yang banyak sudah cukup tetapi saya tidak berfikir panjang.

“Andainya saya (terima tawaran main) di Amerika, mungkin saya boleh (mengembangkan karier) di kelab lain kerana kemudahan dan fasiliti latihan di sana sangat bagus.

“Erick Tohir (Bekas pemilik DC United) tanya saya dan agen, kata jurulatih DC United sangat berminat tetapi bukan dengan pasukan utama. Saya lihat nilai gajinya sama dengan Persebaya sedangkan Selangor tawar dua kali ganda lebih lumayan, makanya saya pilih Selangor,” kata Andik Vermansyah kepada bola.com.

Walaupun menyesal dengan keputusan tersebut, Andik Vermansyah tetap bersyukur dapat beraksi dengan pasukan gergasi seperti Selangor dan membantu Red Giants menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2015.

Malah, dia juga memberitahu penghijrahan ke Selangor membantunya meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan jurulatih import (Mehmet Durakovic).

“Bahasa Inggeris sudah pasti. Orang sana kan biasa pakai bahasa Inggeris, jadi untuk bercakap dengan pemain tempatan dan asing kita pakai bahasa Inggeris. Yang kedua, pengalaman dilatih oleh jurulatih asing. Saya juga bangga menjadi pemain import di sana, menurut saya ia pengalaman yang terbaik,” ujarnya lagi.

Pada tahun 2018, Andik menyertai Kedah dengan kontrak selama setahun bagi mengisi slot kuota import Asean pasukan tersebut. Ketika itu, beliau menjadi rebutan 6 kelab Indonesia sebelum akhirnya memutuskan untuk bersama skuad hijau kuning.

“Sebenarnya, Selangor mahu saya kekal tapi saya memilih untuk keluar. Ya biasalah ada tawaran yang lebih besar lagi. Sebenarnya saya mahu bermain di Malaysia selama 8 tahun tetapi kerana ada urusan lain, saya kembali ke Indonesia.

“Saya mahu menikah lalu Madura United mahu dapatkan khidmat saya. Alhamdulillah gaji sama lah. Jadi, saya setahun di sana, sekarang di Bhayangkara FC.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.