Penyokong Diminta Tidak Pertikai Pemilihan De Paula

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik kurang beraksi pada separuh kedua Liga Malaysia musim ini dan kurang menyengat ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu, Guilherme De Paula tetap disenaraikan Tan Cheng Hoe dalam call-up terbaru skuad kebangsaan bagi mengharungi kalendar antarabangsa pada Oktober.

Malaysia dijadual menentang Jordan dan Uzbekistan dengan De Paula dijangka menjadi sandaran utama serangan bersama-sama Syafiq Ahmad, Luqman Hakim dan Akhyar Rashid.

Walaupun penyenaraian nama De Paula menimbulkan pertikaian, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir berpendapat Cheng Hoe mungkin ada perancangan tersendiri selain pengalaman dimiliki penyerang itu mampu membantu pemain lain di atas padang.

“Mungkin ada strategi tertentu seperti untuk membimbing pemain di atas padang. Malah beberapa pemain senior lain juga amat diperlukan untuk mewujudkan keseimbangan dalam pasukan. Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada pemain muda dan baharu.

“Lagipun, mungkin coach masih mahu menguji De Paula dan melihat kemampuan pemain itu untuk memberikan impak bersama pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Jamal Nasir juga memuji tindakan Cheng Hoe memberi lebih peluang kepada pemain-pemain muda apabila menyenaraikan enam pemain baru iaitu Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City); Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun (Penang FC); Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) serta Hakimi Abdullah (Terengganu FC).

Menurutnya, ia pentas terbaik untuk memberikan pendedahan kepada pemain tersebut di peringkat antarabangsa sekaligus menyediakan mereka untuk menjadi pelapis kepada skuad kebangsaan.

“Ketua jurulatih mempunyai hak mutlak untuk memilih pemain dan keputusan itu sudah tentu dibuat selepas dapat menilai perlawanan di Liga Super dan Liga Premier.

“Jadi beliau dah nampak ada pemain baharu yang menyerlah dan sepatutnyalah diberikan ruang dan peluang kepada pemain baharu ini untuk mewakili negara.

“Apa yang penting adalah dapat memberikan ruang kepada pemain baharu untuk menyarung jersi negara. Kalau kita tidak bagi pendedahan kepada pemain baharu, bila dia nak mendapatkan peluang membuktikan keupayaan di pentas antarabangsa.

“Selain itu, pemain-pemain baharu yang terpilih ini juga perlu membuktikan dan memberikan 100 peratus kepada pasukan untuk memastikan bahawa keputusan memanggil mereka adalah berbaloi,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.