Penyokong doakan Syafiq Ahmad kuat dan tabah harungi dugaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong bolasepak tempatan dikejutkan dengan berita penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian itu, Syafiq dan anak perempuannya Aaira Nur Saffiyya (2 tahun) mengalami cedera ringan; isterinya yang masih dalam pantang Nur Amalina Nur Ain cedera parah; manakala anak lelakinya yang baru berusia 22 hari (Muhammad Aisy Saqeef), ibu mertua (Zainab Wahab) dan pembantu rumah warga Indonesia (Titik Sukamti) meninggal dunia.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 5.36 pagi dan sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian, sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire hitam dalam keadaan remuk teruk dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Selain penyokong-penyokong dari seluruh negara, antara yang mengambil kesempatan menyampaikan ucapan takziah kepada pemain berusia 25 tahun itu adalah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta kelab diwakili pemain itu Johor Darul Takzim (JDT), bersama-sama bekas majikannya Persatuan Bolasepak Kedah, dan juga pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Masing-masing mengharapkan pemain itu diberi kekuatan dan ketabahan menempuh dugaan berat ini, dalam masa sama meminta orang ramai menjaga sensitiviti dengan tidak menyebarkan gambar-gambar atau video berkaitan.

Sebagai rekod, Syafiq Ahmad yang berasal dari Kedah memulakan kariernya bersama Kedah sebelum berhijrah ke JDT pada 2018. Dia juga merupakan salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan, di mana pada tahun lalu telah menjaringkan lima gol.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.