Penyokong harap Faisal Halim tak lakar hatrik dicekak baju

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Jangan kena ‘cekak musang’ dengan Mauricio kat Larkin.”

Penyokong Terengganu FC mempunyai ingatan mesra untuk disampaikan kepada pemain sayap lincah, Faisal Halim menjelang pertembungan menentang Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada Sabtu.

Mereka berharap Faisal Halim tidak mencipta rekod tidak diingini dan tidak pernah disaksikan sebelum ini, iaitu ‘hatrik dicekak baju’ oleh pemain lawan.

Ini kerana pemain bertubuh kecil itu mencuri perhatian apabila kena cekak dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini, pertamanya dengan Azamuddin Akil ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman dan kemudiannya oleh Hadin Azman dalam perlawanan menentang KL City FC.

Ada juga penyokong yang melepas geram mengatakan cara dia melakukan bentesan membahayakan pemain lawan sebagai punca justeru dia diingatkan agar berhati-hati.

Pemain berusia 23 tahun itu pada mulanya berdepan kemungkinan tidak dapat diturunkan menentang JDT kerana mengalami kecederaan namun pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain memaklumkan perkembangan terkini pemain itu sudah cergas sepenuhnya.

Sementara itu bercakap mengenai perlawanan, Nafuzi mengharapkan keyakinan daripada pemain-pemainnya untuk berikan saingan dan tidak terlalu menghormati lawan semasa di atas padang.

“Cuma pesanan saya kepada pemain, mereka kena berikan fokus sejak minit pertama permainan lagi kerana lawan sering kali mampu meraih gol di minit-minit awal, jadi mereka perlu sentiasa berdisiplin mengikut arahan yang diberikan,” katanya.

Ini adalah kali pertama Terengganu FC bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim kerana pertemuan terakhir di Johor adalah di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2019 dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Buat masa ini, JDT mempunyai kelebihan lima mata ke atas Terengganu FC dan tiga mata dalam perlawanan ini buat mana-mana pasukan pasti akan memberikan kesan kepada persaingan kejuaraan Liga Super.

Di kem JDT pula, ketua jurulatih, Benjamin Mora, mengakui Terengganu FC adalah pasukan yang perlu diberi perhatian selepas prestasi cemerlang dipamerkan pemain-pemain muda di bawah kendalian Nafuzi.

“Setiap pasukan yang berdepan JDT, keyakinan pasukan itu akan meningkat tanpa mengambil kira di mana kedudukan mereka di dalam liga buat masa sekarang ini, jadi kita tidak boleh leka atau mengambil mudah.

“Jurulatih Nafuzi telah melakukan satu tugasan yang baik dengan pemain-pemain muda namun kami positif boleh meneruskan apa yang kami telah lakukan di Stadium Sultan Ibrahim,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.