Penyokong Indonesia bangkitkan semangat Saddil Ramdani

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang Sabah FC, Saddil Ramdani antara pemain import yang sedang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Liga Super 2021.

Walaupun hanya menyarung jersi Sabah bermula perlawanan keempat dan baru bermain lima perlawanan, Saddil Ramdani setakat ini telah menjaringkan tiga gol dan mencipta dua assist.

Prestasi ditunjukkan pemain berusia 22 tahun itu turut mendapat tumpuan sebahagian besar peminat Indonesia yang melihat dia mula mempamerkan potensi sebenar selepas gagal bersinar semasa bersama Pahang pada musim 2019.

Justeru, Saddil mengharapkan peminat-peminatnya dari Indonesia bukan sahaja teruskan sokongan kepada dirinya tetapi turut kepada Sabah.

“Secara peribadi, saya mahu ucapkan terima kasih kepada masyarakat Indonesia yang tidak jemu-jemu berikan kata semangat kepada saya sepanjang di Liga Malaysia.

“Harap mereka tidak bosan dalam menyokong saya dan dalam masa sama, turut berikan sokongan kepada Sabah dan saya tidak lupakan kepada masyarakat Sabah yang sangat peramah dan sentiasa berikan kata-kata positif kepada saya,” kata Saddil Ramdani.

Pemain sayap itu memberitahu dia bukan seorang pemain yang mahu dijulang sebagai wira dalam mana-mana perlawanan tetapi apa yang lebih utama adalah kejayaan buat pasukan, dan dia juga berterima kasih kepada rakan sepasukan.

Dengan Sabah masih lagi belum menunjukkan prestasi konsisten dalam Liga Super, Saddil Ramdani secara jujur berasakan masih banyak perlu dilakukan oleh dia dan rakan-rakan bagi memburu kedudukan lebih baik di musim ini.

“Kemahuan saya di sini hanya satu, mendapatkan lebih banyak minit bermain dan dapat membantu rakan-rakan dalam tiap perlawanan serta berikan yang terbaik dalam tiap perlawanan.

“Jaringan-jaringan yang telah lakukan bersama Sabah, bukan atas kemampuan saya secara individu 100 peratus tetapi itu adalah bantuan serta usaha kami sebagai satu pasukan.

“Saya tidak mahu segala pujian diberikan kepada saya kerana apa yang berlaku adalah kerja keras semua yang terbabit dengan pasukan sama ada di dalam atau di luar padang.

“Perjalanan untuk musim ini masih terlalu jauh dan saya serta rakan-rakan akan sentiasa berikan yang maksima buat pasukan kerana kita jelas belum berada dalam kedudukan yang selesa,” katanya.

Saddil Ramdani menjaringkan gol pertamanya musim ini dalam penampilan sulung menentang bekas pasukannya Sri Pahang, kemudiannya ketika menentang Penang FC dan satu lagi ketika Sabah membenam UiTM dalam aksi kelapan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.