Penyokong Indonesia Marah Safawi Rasid Tidak Dikuarantin

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong Indonesia tampil melepaskan kemarahan kepada pihak berkuasa kesihatan Singapura kerana tidak mengarahkan pemain sayap negara, Safawi Rasid menjalani kuarantin meskipun pemain itu tinggal sebilik dengan Akhyar Rashid yang positif Covid-19.

Tatkala Akhyar terpaksa dikuarantin selama 10 hari selepas tampil cemerlang dalam aksi pembukaan Piala AFF 2020, Safawi yang merupakan kontak rapat pula tidak diarahkan berbuat demikian dan dibenarkan beraksi.

Dia menjaringkan hatrik ketika membenam Laos, serta turut bermain ketika menentang Vietnam pada Isnin lalu.

Walaupun pada awalnya tidak menjadi sebarang isu, tindakan kuarantin lima hari yang dikenakan ke atas pemain kacukan Indonesia Elkan Baggott menyebabkan penyokong mereka tidak berpuas hati dan menyifatkan ianya sebagai layanan double standard.

Bukan sahaja pihak berkuasa kesihatan Singapura yang dihentam, malah Safawi Rasid sendiri menjadi mangsa kemarahan penyokong Indonesia yang menyerang akaun instagramnya.

Sebagai makluman, Elkan Baggott diarahkan untuk menjalani kuarantin setelah dia dipercayai menaiki pesawat yang sama dengan salah seorang penumpang yang disahkan positif Covid-19 varian baharu iaitu Omicron.

Lebih membuatkan penyokong Indonesia tidak berpuas hati, Elkan Baggott tetap dikuarantin walaupun keputusan ujian calitan dikatakan negatif selepas tiga kali dilakukan.

Ini menyebabkan pemain Ipswich Town itu terlepas aksi penting menentang Vietnam dan berkemungkinan besar hanya boleh diturunkan ketika menentang Malaysia pada 19 Disember nanti.

Ia akan menjadi perlawanan hidup mati buat kedua-dua pasukan di mana Indonesia yang sedang memimpin Kumpulan B hanya memerlukan seri untuk layak ke separuh akhir, manakala Harimau Malaya yang berada di tangga ketiga pula membawa misi wajib menang.

Ketika Malaysia dan Indonesia bertemu di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, skuad negara menang kedua-dua perlawanan, 3-2 di Bung Karno dan 2-0 di Bukit Jalil namun untuk saingan Piala AFF kali ini perlu diakui pasukan bimbingan Shin Tae Yong merupakan pasukan yang jauh berbeza.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.