Penyokong Kedah di Baling diminta beri kerjasama, tidak dekati pemain

MFL pinda jadual terutama babitkan pasukan KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysia Football League (MFL) memberi lampu hijau kepada pasukan Kedah Darul Aman (KDA) untuk mengadakan latihan secara berpusat Camp Based Training di Stadium Mini, Baling bermula Rabu.

KDA memilih Baling sebagai destinasi baru menjalani latihan berikutan daerah Kota Setar telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula sehingga 1 Jun depan.

“Memandangkan Alor Setar tidak boleh kami mengadakan sebarang latihan pada waktu ini selain beberapa tempat lain seperti Jitra, Kubang Pasu juga dikenakan PKPD, kami lihat Baling jadi kawasan paling sesuai.

“Segala kemudahan di sini agak baik selain faktor kes jangkitan COVID-19 di sini masih terkawal yang mungkin menjadikan peluang untuk dikenakan PKPD agak rendah berbanding kawasan-kawasan lain.

“Malah tempat penginapan yang kami pilih iaitu di Seri Baling Inn hanya jarak dalam 400 meter sahaja memudahkan pergerakan pemain ke tempat latihan pada setiap hari,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KDA, Khamal Idris Ali.

Khamal dalam masa sama mengharapkan kerjasama daripada semua peminat Kedah yang berada di Baling agar tidak mendekati pemain sepanjang mereka berada di sana bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat dijaga.

Menurutnya pengurusan KDA FC turut melantik anggota dari Anggota Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengawal keselamatan pemain sepanjang mereka bergerak dan pulang ke tempat latihan.

“Saya faham peminat Kedah yang berada di Baling mungkin rasa teruja apabila tahu perkembangan ini tetapi buat masa ini, saya memohon kerjasama mereka untuk sama-sama menjaga keselamatan pemain.

“Harap mereka tidak datang dan berkumpul di tempat latihan seperti amalan biasa kerana perkara ini boleh mengganggu gugat SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka kena sama-sama bantu kami demi kebaikan pasukan,” tambahnya.

KDA FC menjadi pasukan kedua selepas Terengganu FC (TFC) yang mendapat kelulusan daripada MFL bagi mengadakan Camp Based Training dengan memilih Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail sebagai tempat penginapan pemain bagi menjalani latihan.

Perkara ini selaras dengan pengumuman MFL pada 19 Mei lalu yang mengumumkan pasukan-pasukan Liga Malaysia hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan PKP dilaksanakan.

Sementara itu, ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui latihan secara Camp Based Training ini sebagai sesuatu yang bermanfaat dalam mengukuhkan lagi ikatan sesama pemain sebelum ke Piala AFC pada penghujung Jun ini.

Tambahnya, situasi itu adalah pertama kali buat dirinya bersama pemain-pemain lain kerana mereka dapat berkumpul untuk satu jangka masa lama malah akan membuka ruang lebih banyak perbincangan sesama mereka dalam mengukuhkan lagi kekuatan pasukan.

“Kami sekadar menjalani latihan selama dua minggu secara di atas talian dan apabila mendapat perkhabaran ini, saya berasa lega biarpun diakui ini kali pertama saya akan ke Baling, tidak banyak yang saya ketahui bagaimana keadaan di sana.

“Namun, situasi ini baik kepada pemain kerana mereka boleh lebih fokus sepanjang tinggal bersama di sana dan saya rasa lebih banyak ruang mampu dimanfaatkan seperti sesi video serta perbincangan dari hati ke hati bersama pemain.

“Cuma bagi mereka yang berkeluarga dan baharu sahaja mendirikan perkahwinan seperti Ifwat Akmal dan Fayadh Zulkifli, mereka kena cepat sesuaikan diri untuk berjauhan seketika dengan orang tersayang tetapi saya yakin mereka boleh selepas beberapa hari tinggal di sini,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.