Penyokong Liverpool perlu akur gelaran liga sudah terlepas dari genggaman mereka

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Liverpool mungkin tampak sudah boleh melupakan hasrat mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi musim lalu.

Krisis prestasi skuad kendalian Jurgen Klopp itu berterusan apabila tewas kali ketiga berturut-turut, kali ini 1-3 kepada Leicester City pada Sabtu, dan ia kekalahan kelima mereka dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Lebih malang, penjaga gol yang dilabel terbaik dunia, Alisson Becker sekali lagi melakukan kesilapan besar yang pastinya tidak akan dimaafkan penyokong apabila menjadi punca terhasilnya gol kedua yang membunuh semangat pemain Liverpool.

Penjaga gol dari Brazil itu keluar terlalu jauh ke luar kotak penalti untuk mengeluarkan bola tetapi bertembung dengan pertahanan Ozan Kabak pada minit ke-81, dan Jamie Vardy mudah menolak masuk ke dalam gawang terbuka untuk memberikan Leicester City kelebihan 2-1 sebelum menyusul gol ketiga The Fox menerusi Harvey Barnes empat minit kemudian.

Alisson Becker juga menjadi punca kekalahan memalukan 1-4 di tangga Manchester City pada minggu lalu apabila dia melakukan dua kesilapan ‘budak sekolah’.

Terdahulu dalam perlawanan di King Power Stadium itu, kedua-dua pasukan menamatkan aksi separuh masa pertama tanpa jaringan dan Liverpool memecah kebuntuan pada minit ke-67 menerusi Mohamed Salah yang menyudahkan assist cantik oleh Roberto Firmino.

11 minit kemudian, kedudukan terikat 1-1 menerusi sepakan percuma James Maddison.

Rentetan keputusan buruk skuad the kops bermula pada 22 Januari apabila mereka tewas buat kali pertama di laman sendiri selepas 68 perlawanan di tangan Burnley dan kemudiannya disingkirkan pula oleh Manchester United dalam saingan Piala FA.

Walaupun masih awal untuk membuat kesimpulan mengenai peluang Liverpool mempertahankan gelaran, ia dilihat sukar untuk mereka mengejar Manchester City yang begitu konsisten dan berada pada prestasi yang memuncak.

Skuad Pep Guardiola itu melakar 15 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dan ketika ini menerajui carta EPL dengan memiliki kelebihan 10 mata ke atas Liverpool, dan mereka masih ada dua perlawanan dalam tangan.

Sebelum ini, Jurgen Klopp pernah mengatakan bahawa Manchester City dibantu faktor tuah kerana mereka tidak bermain sekerap pasukan lain yang mengharungi jadual padat berikutan ada beberapa perlawanan pasukan itu ditangguhkan kerana Covid-19.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.