Layanan yang diterima oleh Gareth Bale daripada penyokong Real Madrid adalah sesuatu yang memalukan, dan kegagalan kelab itu untuk menjernihkan situasi tegang adalah cukup menyedihkan.
Demikian reaksi ejen kepada Gareth Bale, Jonathan Barnett yang berpendapat pemain sayap kebangsaan Wales itu tidak mendapat penghormatan sewajarnya setelah apa yang dia lakukan untuk kelab gergasi La Liga itu.
“Dia tidak dilayan atau dihormati sebetulnya sepertimana seorang pemain yang berjasa besar kepada sebuah kelab besar perlu dilayan.
“Ia adalah sesuatu yang salah, bukan meminta dia dipuja atau diangkat sebagai legenda, tetapi untuk seorang pemain dengan pencapaian hebat sepertinya dalam tempoh tujuh tahun bersama kelab, ia sepatutnya lebih baik.
“Saya tidak mahu tuduh sesiapa tentang apa yang telah berlaku sehingga dia membuat keputusan untuk keluar, tetapi cara penyokong melayannya adalah memalukan dan boleh disifatkan tidak mengenang budi. Kelab juga tidak cuba membantu untuk memulihkan reputasinya yang tercalar,” kata Barnett.
Gareth Bale kembali menyertai kelab lamanya, Tottenham Hotspurs pada minggu lalu, selepas melengkapkan perpindahan secara pinjaman selama semusim.
Bagaimanapun dia belum boleh beraksi sehingga sekurang-kurangnya empat minggu kerana kecederaan lutut. Baca : Spurs sahkan Gareth Bale tersisih sebulan kerana kecederaan lutut
Dia yang bermula sebagai pemain pertahanan kiri meninggalkan kelab London itu tujuh tahun lalu dengan bayaran rekod perpindahan termahal dunia, £85 juta.
Bersama Real Madrid, pemain berusia 31 tahun itu trofi La Liga sebanyak dua kali dan empat kali memenangi Liga Juara-Juara Eropah.
Dia juga memegang rekod sebagai pemain British pertama yang menjaringkan 80 gol dalam 171 penampilan di La Liga.
Gareth Bale mula kehilangan tempat di dalam skuad apabila mengalami kecederaan pada musim 2018/2019 dan sejak itu sukar untuk mendapat semula tempatnya.
Ditambah pula hubungannya yang dilaporkan dingin dengan pengurus pasukan Zinedine Zidane, dia disisihkan terus daripada pasukan dalam sembilan aksi terakhir Real Madrid musim lalu.
Malah pernah pada satu ketika, pemain itu diselar penyokong dan pemerhati bolasepak atas tindakannya mencetus provokasi gara-gara tidak diturunkan. Baca : Gareth Bale mamalukan, tidak menghormati Real Madrid dan Zidane
Zidane bagaimanapun telahpun menafikan dia mempunyai masalah dengan Gareth Bale sebaliknya memberitahu apa yang berlaku adalah sesuatu yang normal di dalam bolasepak. Baca : Saya bukan punca Gareth Bale keluar – Zidane