“Penyokong Tiada Hak Tentukan Nasib Syahmi Safari Di JDT”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru-baru ini Syahmi Safari melengkapkan perpindahan impiannya ke Johor Darul Takzim (JDT), kira-kira dua bulan selepas dia membuat keputusan meninggalkan Selangor dengan menebus kontraknya sendiri.

Walaupun menyertai sebuah pasukan paling berjaya di Liga Malaysia, tidak ramai yang teruja dengan perpindahan tersebut malah ada yang melabel skuad negara akan kehilangan seorang pemain berkualiti.

Ini kerana, Syahmi Safari yang boleh beraksi di posisi pertahanan kanan (kegemaran) dan pertahanan kiri (alternatif) dijangka hanya akan memanaskan bangku simpanan dan sukar meraih minit permainan.

JDT sudah sedia mempunyai Matthew Davies, S.Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq di pertahanan kanan, manakala Lave’re Corbin Ong pula mengenggam erat posisi pertahanan kiri.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, penyokong tiada hak untuk menentukan nasib Syahmi Safari mahupun membuat kesimpulan bahawa pemain berusia 23 tahun itu telah membuat keputusan silap.

“Sama ada dia akan bermain sebagai pemain penting atau simpanan sahaja, itu peminat tiada hak nak menentukan. Hanya jurulatih dan pengurusan JDT lebih berhak tentukan.

“Kalau dia nak jadi pemain utama, dia kena bersaing dan buktikan yang dia terbaik. Kita (penyokong) tak perlu takut, jika dia nak maju ke depan, dia kena gandakan usaha sebab JDT ramai pemain yang bagus.

“Jika tidak, kamu kena duduk tepi padang, itu prosedur biasa dalam permainan bola sepak. Ada pemain yang ke pasukan baharu dia boleh main terus, ada juga yang tak boleh lagi sebab perlukan masa untuk serasi dan benda ini kita tak boleh nak jangka,” katanya dipetik bercakap kepada BH Sukan.

Jamal Nasir juga meminta penyokong menghormati keputusan dibuat pemain itu kerana dia pergi ke sebuah pasukan yang jauh lebih baik dalam semua aspek.

“Setiap pemain inginkan satu pembaharuan serta peningkatan dan JDT juga akan bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL). Jadi mungkin dia boleh dedahkan dirinya di peringkat antarabangsa.

“Kita hanya perlu doakan yang terbaik untuk dia. Saya yakin JDT ambil dia sebab merasakan dia sebagai aset baru kepada pasukan itu bagi mengharungi ACL,” tambahnya.

Sebagai rekod, Syahmi Safari merupakan produk Piala Belia Selangor dan diserap ke skuad utama pada 2017 oleh jurulatih mereka ketika itu, P.Maniam.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.