Perak FC berjimat, daftar 9 pemain baru di jendela perpindahan kedua

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perak FC membawa masuk sembilan muka baru yang akan berganding tenaga dengan pemain-pemain sedia ada bagi meneruskan perjuangan The Bos Gaurus dalam baki saingan Liga Super yang akan kembali bersambung pada bulan Julai depan.

Pasukan kendalian Chong Yee Fatt itu ketika ini sedang bergelut di zon penyingkiran, menduduki tangga kesepuluh dengan 12 mata ekoran prestasi hambar dalam 13 perlawanan yang telah diharungi.

Masalah kewangan kritikal juga menyaksikan enam pemain tonggak membuat keputusan ‘angkat kaki’ iaitu Shahrul Saad, Guilherme De Paula, Kenny Pallraj, J.Parthiban, Shakir Hamzah dan Nazirul Naim Che Hashim.

“Perak FC menyedari keluh kesah dan pandangan semua peminat serta penyokong ekoran perkembangan terbaru pasukan Liga Super, khususnya selepas penghijrahan enam tonggak pasukan ke beberapa kelab bola sepak lain.

“Pada jendela perpindahan kali ini, Perak FC tidak melengahkan masa sebaliknya telah bertungkus-lumus bagi mendapatkan pemain-pemain demi keseimbangan dan memantapkan kesinambungan kekuatan pasukan yang sedia ada,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut juga menyatakan nama-nama pemain yang akan menyertai pasukan akan diumumkan secara rasmi sebaik sahaja mendapat kelulusan pendaftaran daripada pihak Malaysian Football League.

“Kehadiran pemain-pemain baharu ini adalah satu kenyataan yang sangat jelas daripada Perak FC akan keseriusannya untuk terus kekal kompetitif selain tidak mahu menghampakan semua peminat bola sepak Negeri Perak.

“Selain itu, rombakan ke atas skuad semasa jendela perpindahan kedua ini merupakan kelangsungan penstrukturan semula pengurusan dan pentadbiran yang telah bermula sejak bulan Februari 2021 dan akan berterusan untuk pasukan terus kekal berdaya saing.”

Antara pemain yang disebut akan memperkuatkan skuad adalah Samir Ayass dan Jad Noureddine; pemain dari England, Charlie Machell; dan pemain dari Cameroon, Zoubairou Garba.

Melalui langkah-langkah penstrukturan semula ini, Perak FC memaklumkan bahawa mereka berjaya melakukan penjimatan kos sekitar setengah juta ringgit sebulan dan ia amat penting bagi membantu pasukan mengatasi krisis kewangan untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Kepada kesemua enam pemain yang telah meninggalkan pasukan, Perak FC mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah dicurahkan kalian selama ini.

“Perak FC berharap agar para penyokong dapat terus bersabar dan meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan proses dan peralihan ini.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.