Perak FC bertambah parah, Kenny Palraj dan Parthiban sertai KL City

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Situasi di kem Perak FC bertambah parah apabila mereka kehilangan dua lagi pemain tonggak, setelah pemain tengah D.Kenny Palraj dan pemain sayap, J.Parthiban yang membuat keputusan angkat kaki, dengan kedua-duanya diumumkan sebagai pemain baru Kuala Lumpur City pada Isnin.

Baru sahaja pada Jumaat lalu barisan pemain Perak FC membuat keputusan memboikot sesi latihan sebagai tanda protes berhubung tunggakan gaji dan kemudiannya mereka kehilangan kapten pasukan Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang menyertai Johor Darul Takzim pada Sabtu.

Manakala pada Ahad, Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Rizal Ali Naizali mengumumkan meletak jawatan sebagai rasa tanggungjawab terhadap krisis kewangan meruncing dihadapi pasukan itu, dan kini mereka bertambah tempang terpaksa melepaskan Kenny Palraj dan Parthiban.

Jelas, kenyataan kurang bijak oleh Bendahari Perak FC, Datuk Sham Mat Sahat bahawa pemain-pemain yang tidak mempunyai jiwa untuk bermain dengan pasukan itu disebabkan tunggakan gaji dua bulan boleh berpindah ke pasukan lain, membawa padah.

Sudahlah pemain-pemain bermain tanpa gaji, mendengar pula kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu daripada seorang individu yang sepatutnya menjernihkan keadaan sudah tentunya membakar lagi hati mereka yang sedia tawar hati dengan sikap acuh tak acuh pihak pengurusan.

Berita berkaitan : “Tiada solusi dicapai, tiada jaminan pemain akan dapat gaji”

Perkembangan terbaru ini boleh dikatakan kemelut paling serius disaksikan dalam arena bolasepak Perak sejak lebih sedekad.

Bermula dengan isu logo baru Perak FC yang dikecam hebat sehingga mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, disusuli peletakkan jawatan Mehmet Durakovic sebagai ketua jurulatih, krisis tunggakan gaji, boikot sesi latihan dan pemain cabut lari, menjadikan situasi Perak FC tidak ubah seperti kapal yang hampir karam.

Pasukan itu juga kini sedang bergelut untuk mengelak daripada tersingkir daripada saingan Liga Super buat kali pertama – hanya dua musim selepas layak bermain di kelayakan Liga Juara-Juara Asia – dan berdasarkan keadaan semasa mustahil mereka dapat selamatkan diri.

Daripada 13 perlawanan yang diharungi, pasukan kendalian Chong Yee Fatt hanya mengutip 12 mata dan menduduki tangga kesepuluh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.