Perak FC cari import baru ketika gaji pun tidak dapat dibayar dengan betul

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Masalah gaji tertunggak dihadapi Perak FC menjadi tumpuan penyokong bolasepak tanah air baru-baru ini.

Pelbagai spekulasi timbul termasuk kemungkinan ada pemain akan angkat kaki setelah hilang sabar dengan kerenah pengurusan yang menabur janji palsu untuk menyelesaikan tunggakan gaji mereka selama lebih dua bulan.

Situasi bagaimanapun reda seketika apabila Ahli Lembaga Perak FC Khairul Shahril Mohamed memberitahu pihak pengurusan melunaskan bayaran gaji bagi bulan Februari 2021 membabitkan jumlah RM900,000 daripada dana kerajaan negeri.

Malah, Perak FC juga menawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membeli pegangan saham kelab itu, namun tiada sebarang perkembangan mengenainya.

Hakikatnya, rata-rata pemerhati menyifatkan pasukan itu antara yang belum profesional kerana tidak mampu mencari dana sendiri menguruskan pasukan sebaliknya terus mengharapkan bantuan kerajaan negeri.

Apa yang pasti, tidak ada jaminan isu tunggakan gaji di kem Perak FC tidak akan berulang, kerana Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad sebelum ini tegas menyatakan tidak adil untuk kerajaan negeri menumpukan kepada satu jenis sukan semata-mata khususnya dari segi bantuan peruntukan.

Berita berkaitan : “Bukan tanggungjawab kerajaan negeri bayar tunggakan gaji”, kata Menteri Besar Perak

Namun begitu, di sebalik kekangan kewangan dan kegagalan membayar gaji dengan betul, Perak FC bercadang mendapatkan dua pemain import bagi memperkuatkan pasukan mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2021.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali yang berkata persetujuan untuk melengkapkan kuota import pasukan dibuat dalam mesyuarat pengurusan pasukan.

“Kami sudah mengenal pasti dua calon dan rundingan sedang diadakan dengan ke­dua-dua pemain itu, jika tiada aral mereka akan dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua,” kata ­Rizal Ali tanpa mendedahkan identiti dua pemain tersebut.

Perak masih mempunyai dua kekosongan kuota import walaupun sudah memiliki empat import iaitu Shakir Hamzah, Leandro Dos Santos, Guilherme de Paula dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).

Ini kerana De Paula sudah mendapat taraf tempatan sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Walaupun tidak menyatakannya tetapi berdasarkan situasi semasa skuad Yob dijangka mengambil khidmat seorang pertahanan dan seorang penyerang kerana dua bahagian tersebut dianggap tidak mantap.

Perak FC yang tampil sebagai pencabar kuat dalam saingan Liga Super sejak beberapa musim kebelakangan, tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan dalam saingan musim ini, apabila setakat ini hanya mencatat dua kemenangan dalam sembilan perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.