Perak II Akan Dibubarkan Berikutan Kos Operasi Tinggi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Susulan tersingkirnya pasukan Perak FC ke Liga Premier, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bercadang untuk mengambil langkah drastik membubarkan pasukan feeder team mereka, Perak II.

Perkara itu disahkan oleh pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad kepada Sinar Harian kerana menurutnya mereka mahu meletakkan fokus penuh terhadap kebangkitan semula pasukan Perak FC selain kos pengurusan yang tinggi jika mempunyai lebih dari satu pasukan.

“Setakat ini dalam perbincangan awal pihak pengurusan, Perak FC II terpaksa kita bubarkan. Tak boleh buat apa dah, nak tukar semula nama jadi PKNP FC pun tak ada dalam perancangan.

“Fokus kami sekarang adalah untuk mengharungi Liga Premier mulai musim depan dan juga layak ke Piala Malaysia. Kalau rezeki boleh melangkau semula (ke Liga Super)… alhamdulillah.

“Pada masa sama, kami nak fokus untuk pasukan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) dan juga skuad pembangunan,” ujar Muhammad Yadzan.

Sebagai rekod, Perak FC tersingkir buat kali pertama dari saingan Liga Super dalam sejarah 18 tahun pertandingan itu selepas menamatkan musim 2021 di tangga kedua tercorot, setelah hanya mengumpul 16 mata.

Berikutan itu juga, Malaysian Football League (MFL) pada Jumaat mengumumkan bahawa Perak II secara automatiknya disingkirkan ke Liga M3 kerana skuad utama dan skuad pembangunan tidak boleh beraksi dalam pertandingan sama.

Dalam pada itu, Muhammad Yadzan turut memberitahu bahawa beberapa pemain dari Perak II akan diserapkan menyertai Perak FC selain ada juga yang dilepaskan.

“Namun, perkara ini akan dibincangkan lagi. Cuma kami tak akan ada sampai dua tiga pasukan, belanjanya besar. Lagipun kami dah tetapkan kriteria dan siapa (pemain) yang bagus akan pergi ke Perak FC,” tambahnya.

Perak II pada asalnya dikenali sebagai PKNP FC dan muncul juara Liga FAM seawal penampilan sulung mereka pada 2016 sekaligus menyaksikan mereka layak ke Liga Premier setahun kemudian.

Mereka terus mencuri tumpuan apabila menduduki tangga ketiga Liga Premier 2017 dan layak ke Liga Super 2018 namun tersingkir semula ke Liga Premier pada musim 2020.

Kami di Labola Malaya berpendapat kenapa perlu membubarkan pasukan ini? Namanya feeder team, rekrut sahaja pemain-pemain amatur untuk beraksi dalam Liga M3, ia tidak membabitkan kos besar melainkan pasukan ini tetap menggunakan pemain profesional dan pemain import.

Malah pasukan Perak II juga boleh dibarisi lepasan-lepasan Piala Presiden yang tidak mendapat tempat dalam skuad utama, berapa sahaja gaji mereka?


Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.