Perak ke Piala AFC lebih penting dari kasut emas penjaring terbanyak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Perak layak ke Piala AFC 2021 lebih penting dari saya memenangi kasut emas penjaring terbanyak”, itu reaksi penjaring terbanyak Liga Super ketika ini, Shahrel Fikri Md Fauzi.

Shahrel Fikri ketika ini memimpin carta penjaring dengan 9 gol dan berpeluang cerah untuk menamatkan musim selaku pemenang kasut emas, tetapi dia menegaskan keutamaannya adalah memastikan Perak tidak terlepas slot bermain di Piala AFC.

Empat gol jaringan penyerang kebangsaan itu ketika menewaskan Felda United 5-1 pada minggu lalu membantu skuad Mehmet Durakovic kembali merampas kedudukan kedua.

Mereka perlu kekal di kedudukan itu sehingga tamat saingan liga untuk layak ke Piala AFC namun ia jelas bukan mudah kerana menanti dalam dua aksi terakhir adalah lawan yang turut membawa matlamat sama iaitu Pahang dan Kedah.

Pahang yang akan mereka ketemu pada Sabtu ini ketinggalan 4 mata di belakang manakala Kedah pula ketinggalan hanya satu mata justeru Shahrel Fikri tidak mahu terlalu ghairah memburu tambahan jaringan peribadi sehingga merugikan pasukan.

KASUT EMAS ADALAH BONUS

“Sememangnya ini adalah pencapaian membanggakan untuk saya kerana sebelum ini kalau kita tengok, selalunya pemain import yang mendominasi penjaring terbanyak, tetapi sekarang saya berjaya buktikan pemain tempatan juga mampu untuk berada di tahap ini.

“Kalau boleh memang saya nak tambah lagi gol untuk dua lagi perlawanan, tetapi macam-macam boleh jadi dan saya tidak mahu tamak untuk mengejar gol sebaliknya misi utama adalah untuk pastikan Perak menang.

“Dengan 9 gol sekarang, tidak jauh beza dengan penjaring lain seperti Tchetche Kipre (Kedah) dan lain-lain yang kini mengumpul 7 dan 6 gol, dan mereka juga pasti akan turut sama melakukan yang terbaik untuk prestasi masing-masing.

“Apa-apa pun, slot ke Piala AFC tetap diutamakan dan mahu atau tidak, kami kena menang dalam baki dua perlawanan ini, jika menang kasut emas ia adalah satu bonus buat diri saya,” katanya.

Sebagai rekod, Shahrel Fikri adalah satu-satunya pemain tempatan dalam kelompok lima penjaring terbanyak Liga Super.

Kipre Tchetche, Dominique Da Sylva (Terengganu FC) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) mengekori dengan tujuh gol manakala Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim) telah menjaringkan enam gol.

Kali terakhir kasut emas dimenangi pemain tempatan adalah pada 2011 oleh Abdul Hadi Yahya (Terengganu FC).

Sementara itu, Shahrel Fikri mengagumi mentaliti rakan sepasukan yang bangkit melakar tiga kemenangan berturut-turut selepas dimalukan dengan kekalahan besar 7-0 oleh JDT, bulan lalu.

“Saya tengok tahap keyakinan kami semua semakin tinggi dan selepas kalah besar dengan JDT tempoh hari, kami bangkit untuk menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.

“Yang penting, kami tidak boleh leka dan perlu ingat, Pahang dan Kedah juga mesti tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak kerana mereka juga enggan ketinggalan untuk menamatkan liga di kedudukan terbaik terutamanya Kedah.

“Saya percaya kami semua akan dapat kekalkan momentum yang ada ini selepas berdepan pelbagai cabaran daripada awal musim sehingga kini,” tambahnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.