Perak pula jadi mangsa kebangkitan Sri Pahang, TFC bikin Selangor gigit jari

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang meneruskan episod kebangkitan mereka dalam saingan Liga Super 2021, apabila membenam pasukan bermasalah Perak FC 3-2 di Stadium Ipoh, pada Ahad.

Tiga mata yang diraih membantu pasukan bimbingan Dollah Salleh keluar dari zon penyingkiran buat pertama kali musim ini, apabila melonjak ke tangga kesembilan dengan 12 mata, manakala Perak FC pula tergelincir ke tangga kesepuluh.

Ternyata kehadiran pemain import baru di jendela perpindahan kedua, terus memberi impak positif buat Sri Pahang, mereka kini tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir.

Pemain dari Myanmar yang pertama kali diturunkan Aung Kaung Mann membuka jaringan pada minit ke-34 untuk Sri Pahang mendahului 1-0 di separuh masa pertama. Seorang lagi import baru, Kenny Athiu menggandakan kedudukan pada minit ke-58.

Leandro Dos Santos merapatkan kedudukan 1-2 menerusi tendangan penalti sepuluh minit kemudian, namun Kenny Athiu mengembalikan kelebihan dua gol buat Sri Pahang apabila menanduk masuk hantaran Nor Azam Azih untuk gol ketiga pada minit ke-88.

Careca berjaya menjaringkan gol kedua buat Perak FC pada masa kecederaan tetapi sudah terlewat untuk membantu menjelmakan kebangkitan.

Dalam satu lagi aksi, Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Selangor FC 2-1, seterusnya merampas semula kedudukan kedua, ketinggalan tiga mata di belakang Johor Darul Takzim.

Jaringan penalti Ifedayo Olusegun meletakkan skuad Karsten Neitzel di depan pada minit ke-50, namun terpaksa berputih mata kecundang di laman sendiri apabila Engku Nur Shakir Engku Yacob (m-73)  menyamakan kedudukan sebelum Carli De Murga meledak gol kemenangan tiga minit sebelum tamat permainan.

Kekalahan keempat buat Selangor FC menyaksikan mereka kekal di tangga kelima dengan 19 mata.

Sementara itu, Melaka United dan PJ City, kedua-duanya terus hambar apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Hang Tuah.

Kegagalan memenangi tiga perlawanan terakhir menyaksikan skuad Zainal Abidin Hassan jatuh ke tangga kedua tercorot, manakala PJ City bimbingan P.Maniam pula menghuni tangga kelapan dengan 15 mata.

Aksi Liga Super akan berehat selama lebih kurang lapan minggu bagi memberi laluan kepada latihan pusat skuad kebangsaaan (jika tidak dibatalkan kerana Covid-19) sebagai persiapan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun.

Foto ehsan : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.