Pemain import baru Johor Darul Takzim (JDT), Bienvenido Maranon jelas teruja melihat fasiliti serta pelbagai kemudahan di kelab selatan tanah air itu yang disifatkannya jauh lebih baik dari kelab-kelab lain di Asia Tenggara, malah menyamai standard kelab La Liga.
Pemain berdarah kacukan Filipina-Sepanyol itu ketika bercakap dalam satu temuramah bersama portal AFC.com berkata, perbandingan sebenar buat JDT adalah kelab-kelab gergasi La Liga seperti Real Madrid dan Barcelona.
“Terima kasih kepada semua yang membantu saya untuk menyertai kelab ini, terutama boss (TMJ) yang membuat keputusan membawa saya ke sini. Saya sangat teruja dengan pengalaman ini. Tidak banyak perkara yang perlu ditambah tentang JDT yang orang belum tahu.
Bagi saya, JDT ialah kelab terbaik di Asia Tenggara, secara praktikalnya terbaik di seluruh Asia. Fasiliti dan stadium yang kami ada di Filipina, tiada apa jika mahu dibandingkan dengan JDT.
“Anda tidak boleh membandingkan JDT dengan tempat lain di Asia Tenggara. Saya rasa JDT mempunyai standard fasiliti yang setaraf, malah lebih baik daripada kebanyakan pasukan di La Liga di Sepanyol.
“Apabila anda perlu membandingkan Johor, anda perlu membandingkan dengan Real Madrid, Barcelona dan pasukan-pasukan seperti ini,” kata penyerang berusia 35 tahun itu yang juga anggota skuad Piala AFF Filipina di Piala AFF 2020.
Mengenai bagaimana perpindahan ke JDT boleh terjadi, Maranon menjelaskan, “Sebenarnya sudah lama pasukan ini menunjukkan minat mendapatkan saya. Selepas bermain menentang JDT ketika bersama Ceres Negros dalam saingan Piala AFC 2017, saya didatangi wakil pasukan yang bertanya jika saya berminat bermain dengan mereka.
“JDT pada waktu itu memang pasukan yang mahu ditewaskan semua dan mempunyai reputasi mengagumkan, tetapi malangnya timing tak kena kerana saya berkontrak dengan Ceres. Kemudian pada 2020 mereka datang sekali lagi tetapi isunya tetap sama (terikat dengan Ceres) sehinggalah akhirnya selepas saya beraksi baik di Piala AFF baru-baru ini, JDT approach lagi dan berjaya mencapai persetujuan bersama kelab.”
Maranon juga berharap penampilan keduanya di pentas Liga Juara-Juara Asia kali ini akan membawa tuah apatah lagi skuad harimau selatan mensasarkan untuk mara melepasi peringkat kumpulan.
JDT akan beraksi dalam Kumpulan I bersama-sama Kawasaki Frontale, Guangzhou FC dan Ulsan Hyundai/Port FC.
“Saya fikir ia akan menjadi kumpulan yang sukar, boleh jadi paling sukar. Jika bercakap tentang pengalaman secara terus, hanya Kawasaki yang pernah saya jumpa dalam saingan musim lalu. Mereka adalah lawan yang sangat bagus, dengan ramai pemain berkualiti dan pemain import yang hebat.
“Tetapi sebenarnya ia sama dengan situasi di JDT, kita ada pemain tempatan berkualiti tinggi dan pemain import yang hebat dan mampu melonjakkan prestasi pasukan. Jadi saya rasa kami mempunyai pasukan yang sangat kompetitif untuk ACL tahun ini, ditambah pula dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri,” katanya.