Arsenal mungkin tidak akan meneruskan niat membawa masuk pemain sayap Chelsea, Willian kecuali pemain antarabangsa Brazil itu sedia menurunkan permintaan gajinya.
Kontrak Willian yang tujuh tahun menabur bakti di Stamford Bridge akan berakhir pada musim panas ini setelah rundingan kontrak baru menemui jalan buntu setelah Chelsea enggan memenuhi permintaannya yang mahu kontrak paling kurang selama dua tahun untuk kekal.
Chelsea dilaporkan mahu menawarkan lanjutan setahun kontrak sahaja kepada Willian yang akan berusia 32 tahun pada Ogos depan.
Pemain itu tampak gembira dan selesa tinggal di London bersama keluarganya, dan perpindahan ke Arsenal dilihat sebagai idea paling relevan untuk dia terus menetap di situ.
Ejen pemain itu Kia Joorabchian mempunyai hubungan baik dengan pengurusan the gunners, apatah lagi dia yang membantu Edu kembali berkhidmat bersama pasukan itu selain membantu menguruskan perpindahan David Luiz pada musim panas lalu.
Begitupun, di sebalik hakikat bahawa Willian boleh ditandatangani secara percuma, Arsenal terkejut dengan permintaan gajinya.
Willian mahu £120,000 seminggu – jumlah sama yang diterimanya ketika ini di Chelsea, dengan lanjutan kontrak selama tiga tahun, bermakna Arsenal perlu membayarnya sekitar £18.7 juta dalam tempoh itu – jumlah yang cukup tinggi bagi seorang pemain yang akan berusia 35 tahun ketika kontrak berakhir.
Dengan Arsenal sedang berdepan ketidaktentuan mengenai masa depan kapten yang juga penyerang utama Pierre Emerick Aubameyang, kemasukan Willian mungkin boleh menjadi solusi namun apa yang pasti Arsenal hanya akan meneruskan rundingan dengan pemain itu andai dia bersetuju menurunkan permintaan gajinya.
Foto : Zimbio