Perompak masuk rumah 7 tingkat Ronaldo, curi jersi Juventus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kediaman mewah tujuh tingkat milik bintang Juventus Cristiano Ronaldo di Madeira dimasuki perompak pada awal pagi tadi.

Beberapa akhbar tempatan di Portugal seperti Diario de Noticias dan Madeira Island News melaporkan perompak memasuki kediaman Cristiano ketika kakitangan di rumahnya membuka pintu garaj.

Peliknya, perompak tersebut dikatakan tidak mencuri barang-barang besar sebaliknya hanya mengambil barangan peribadi kecil milik Cristiano termasuk jersi Juventus bertandatangan pemain itu yang berharga kira-kira £182.

Cristiano tiada di rumah ketika kejadian kerana tugasan bersama skuad kebangsaan Portugal, di mana dia beraksi selama 72 minit dalam perlawanan menentang Sepanyol yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Manakala teman wanitanya, Georgina Rodriguez pula berada di Paris menghadiri minggu fesyen di sana.

Tidak dapat dipastikan sama ada ibu Ronaldo, Dolores atau abangnya, Hugo yang kedua-duanya tinggal di kediaman tersebut berada di rumah ketika kejadian.

Pihak polis dilaporkan sedang memburu suspek yang telah dikenalpasti melalui rakaman kamera CCTV, dan ianya adalah individu yang dikenali penduduk setempat namun belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Cristiano yang merupakan pemain terbaik dunia sebanyak lima kali, membeli kediaman bernilai £7 juta itu pada 2015, dan ia turut dilengkapi dua kolam renang bersaiz olimpik, sebuah jacuzzi, serta padang bolasepak selepas 4 tahun pengubahsuaian.

Dua tingkat teratas rumah tersebut didudukinya bersama Georgina dan empat anak mereka tetapi tidak ada maklumat tepat berapa jumlah bilik di dalam kediaman itu.

Garaj bawah tanah yang mana digunakan pencuri untuk masuk ke dalam rumah, boleh memuatkan sehingga lima buah kereta.

Pemain berusia 35 tahun itu turut memiliki sebuah hotel 48 bilik – Pestana CR7 – yang terletak berhampiran.

Sebagai rekod, Cristiano mula mencipta nama bersama Manchester United – kelab yang diwakilinya dari 2003 – 2009 dan kemudiannya menyertai Real Madrid selama hampir 10 musim, sebelum berhijrah ke Juventus pada 2018.

Bersama pasukan kebangsaan, dia telahpun meledak lebih 100 gol sejak membuat penampilan sulung pada 2003.

 

 

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.