Perpindahan tidak dijangka yang mengejutkan ramai penyokong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dunia bolasepak telah menyaksikan banyak perpindahan tidak dijangka; pemain berprofil tinggi berjaya dipancing kelab sederhana, ataupun sebaliknya.

Ini antara beberapa perpindahan bersifat sedemikian.

Nicklas Bendtner ke Juventus

Pemain kebangsaan Denmark ini tidaklah mengharungi karier yang baik di Arsenal, dalam kata lain dia gagal membuktikan mempunyai cukup kualiti untuk bermain dengan the gunners yang merupakan salah satu kelab terkemuka Eropah.

Dia seringkali tersisih kerana masalah kecederaan, malah diselubungi pelbagai kontroversi luar padang.

Bendtner sepatutnya dijual pada penghujung musim 2011 dan dikaitkan dengan perpindahan ke Hamburg, Borussia Dormund dan Stoke City, tetapi pada akhirnya dipinjamkan ke Sunderland.

Dia kembali ke Arsenal selepas semusim dipinjamkan, tetapi kemudiannya sekali lagi keluar secara pinjaman, kali ini menyertai Serie A, Juventus.

Ia bahkan mengejutkan penyokong Arsenal sendiri bagaimana seorang pemain dengan level Bendtner boleh memikat perhatian kelab gergasi seperti Juventus.

Juventus sebenarnya berdepan masalah kekurangan penyerang tengah dan Bendtner dipertimbangkan sebagai solusi minit akhir, bagi Arsenal mereka sebenarnya lega untuk melepaskan pemain itu, jangan kata pinjam, nak beli terus pun tiada masalah.

Tetapi Juventus kekal dengan hajat mahu meminjam sahaja, dengan opsyen untuk menjadikannya perpindahan kekal.

Ternyata, Juventus silap membuat keputusan, Bendtner bukan pemain yang berbaloi, dihimpit masalah kecederaan dan sekali lagi kontroversi luar padang, secara keseluruhannya dia hanya membuat 11 penampilan (dua kesebelasan utama) dalam semua pertandingan dan tidak menjaringkan sebarang gol.

Bojan Krkic ke Stoke City

Penyokong yang mengikuti rapat perkembangan bolasepak Eropah, pastinya mengakui pemain ini sebagai prospek masa depan bolasepak Eropah suatu masa dahulu.

Demi mendapatkan minit bermain, dia keluar daripada Barcelona dan menyertai AS Roma kemudiannya dipinjamkan ke AC Milan dan Ajax, tetapi highlight terbesar sudah tentunya perpindahan Bojan ke kelab yang sinonim dengan zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris Stoke City.

Seorang pemain yang mempunyai kualiti untuk menarik perhatian kelab besar seperti Chelsea, Manchester United, Liverpool, Manchester City, Arsenal mahupun Tottenham Hotspur, tetapi memilih menyertai Stoke City!

Selepas naik turun karier di Stoke City, Bojan kemudian berkelana ke Jerman untuk beraksi dengan Mainz dan kini bermain di Major Soccer League.

Carlos Tevez dan Javier Mascherano ke West Ham

Mungkin pembelian berganda paling sensasi pernah dilakukan sebuah kelab sederhana di EPL.

Dua pemain bintang Argentina ini dibeli dari Corinthians pada Ogos 2006; Mascherano sebelum itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi seperti Real Madrid, Barcelona dan Juventus. Manakala Tevez pula dikaitkan dengan beberapa kelab Itali.

Alan Pardew kemudian mendedahkan bahawa dia cuma meminta boss West Ham untuk mendapatkan James Milner sahaja di pasaran perpindahan.

Tevez dan Mascherano Perpindahan tidak dijangka yang mengejutkan ramai penyokong

Mascherano pada hakikatnya bermain beberapa perlawanan sahaja dengan West Ham di mana dia didesak oleh jurulatih Argentina supaya segera meninggalkan kelab itu, dan dia melengkapkan perpindahan ke Liverpool pada Februari 2007.

Tevez pula bermain semusim penuh dan menjadi watak penting yang membantu the hammers kekal di EPL 2007/08 sebelum berhijrah ke Manchester United.

Edgar Davids ke Crystal Palace, Barnet

Salah seorang pemain tengah terbaik ketika zamannya, dan ia mengejutkan ramai dia berakhir di Barnet.

Pemain yang menjulang Liga Juara Eropah bersama Ajax dan mengharungi karier lima bintang bersama AC Milan, Juventus, Barcelona dan Inter Milan.

Pernah juga menyarung jersi Tottenham Hotspurs dan kemudian kembali semula ke Ajax, Davids mencuri tumpuan pada Ogos 2010 apabila menyertai Crystal Palace yang ketika itu bermain di Liga Kejuaraan, dalam rundingan ‘dibayar apabila bermain’.

Dia bermain hanya dua bulan dengan membuat enam penampilan, tetapi ia tidak berakhir di situ.

Dua tahun kemudian bekas bintang Belanda ini bersetuju dengan tawaran menjadi pengurus-pemain kelab Divisyen 2 Barnet yang mana dia mengharungi karier penuh dengan kontroversi semata-mata, dilayangkan tiga kad merah dalam lapan perlawanan.

Fernando Hierro, Youri Djorkaeff dan Jay-Jay Okocha ke Bolton Wanderers

Untuk memikirkan legenda Real Madrid, Fernando Hierro; pemenang Piala Dunia bersama Perancis, Youri Djorkaeff dan bintang Nigeria Jay-Jay Okocha bermain dalam satu pasukan ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Sam Allardyce bertanggungjawab menjadikan mimpi itu kenyataan apabila membawa masuk tiga pemain itu ke Bolton Wanderers.

Okocha menyertai pasukan secara percuma dari Paris Saint Germain dan pantas menjadi kesayangan peminat, Djorkaeff bermain tiga musim dengan Bolton selepas mengetepikan minat ditunjukkan Liverpool dan Manchester United manakala Hierro pula mengakhiri kariernya di Bolton.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.