Persiapan 30 hari, lima pemain duduki SPM punca Skuad Projek FAM terkulai

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Menyaksikan pasukan Projek FAM-MSN kendaliannya dibelasah 0-4 oleh Terengganu FC II dalam aksi pembukaan Liga Premier 2021 pada Sabtu, Yusri Che Lah hanya mampu redha sambil berharap barisan pemainnya akan cepat belajar agar dapat tampil lebih baik dalam perlawanan berikutnya.

Menurut Yusri Che Lah yang membing Kelantan FC musim lalu, terdapat jurang besar antara pasukan lawan serta pasukannya yang baru dibentuk, dengan kesemuanya adalah ‘budak-budak’ yang masih cetek pengalaman.

“Namun komitmen pemain harus dipuji kerana mereka dari sekolah menengah terus ke liga yang tinggi, mereka juga belum ada pendedahan sebelum ini tapi mereka boleh bersaing.

“Ditambah pula persiapan pasukan baharu 30 hari, malah lima daripadanya sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi tidak mungkin dalam masa itu mereka mampu menterjemahkan dengan aksi terbaik lebih-lebih lagi bertemu pasukan yang sudah berpengalaman.

“Tapi daripada segi komitmen dan kecergasan serta semangat melawan saya harus puji biarpun rata-rata pemain belum mencapai tahap terbaik, hanya 50 peratus sahaja, lagipun aksi pertama itu tidak boleh dijadikan penanda aras.

“Bertemu Kelantan FC Selasa ini, kami harap pemain dapat meningkat prestasi di semua posisi selain mampu meledak gol berbanding aksi pertama malam ini (malam tadi),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Terengganu FC II kendalian Badrul Afzan Razali membuka jaringan pada minit ke-19 menerusi sepakan percuma Muhamad Hairiey Hakim Mamat.

Jaringan kedua menyusul minit ke-42 menerusi sepakan leret Muhammad Nur Azfar Azhar yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Al-Iman Wahiey Muhammad Amir.

Sepanjang babak pertama tiada satupun percubaan tepat dilakukan skuad Projek FAM-MSN tatkala TFC II yang menurunkan tiga tonggak import gah mendominasi permainan.

Gol ketiga TFC II hadir minit ke-46 menerusi rembatan Ridzuan Razali sebelum penyerang gantian, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali melengkapkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Sebagai rekod, Skuad Projek FAM-MSN dilancarkan pada Disember 2020 dengan tujuan utama untuk mencipta laluan karier kepada produk Program Pembangunan Bolasepak (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Kelompok pemain yang cemerlang akan menjadi tulang belakang bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2021, pusingan kelayakan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Sukan Asia Hangzhou 2022, Sukan SEA Kemboja 2023, saingan B-23 AFC 2024 serta saingan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Foto kredit : Harian Metro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.