Selepas berehat panjang, Nik Sharif Haseefy sudah sedia mengegar

Nik Sharif Haseefy
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setelah begitu lama berehat kerana kecederaan, pemain sayap Selangor FC, Nik Sharif Haseefy Md Lazim gembira akhirnya dapat beraksi semula ketika menentang Melaka United dalam aksi persahabatan beberapa hari lalu.

Nik Sharif Haseefy mengalami kecederaan buku lali sebelum musim baru bermula pada Mac lalu, menyaksikan dia terpaksa melupakan 13 perlawanan Liga Super yang telah diharungi Red Giants.

Aksi menentang Melaka United adalah kali pertama dia beraksi dalam jersi Selangor FC, dan meskipun ia hanya perlawanan persahabatan Nik Sharif Haseefy memanfaatkan sebaiknya peluang untuk membuktikan dia sudah bersedia untuk membantu perjuangan pasukannya itu dalam saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, bekas pemain Sri Pahang itu mengakui dia masih perlu bekerja keras mempertingkatkan aspek kecergasan sambil berharap mendapat peluang lebih kerap untuk bermain.

“Kali terakhir saya beraksi dalam aksi kompetitif ketika Piala Malaysia musim lepas, dan perlawanan persahabatan ketika menentang Melaka tempoh hari adalah yang pertama untuk saya akhirnya sentuh bola selepas lama berehat.

“Pernah juga bersaing dengan skuad Selangor 2, tetapi bagi saya itu belum mencapai tahap intensiti yang tinggi tetapi ketika lawan Melaka, baru saya dapat rasakan yang saya masih lagi kurang cergas dan itu yang saya perlukan sekarang.

“Mula-mula saya datang ke Selangor adalah dengan misi yang besar, tetapi bila dah cedera, memang tak boleh nak buat apa, yang penting saya memang nak cabar diri saya keluar daripada zon selesa dan harap dapat diberi peluang beraksi lebih kerap selepas ini”, kata Nik Sharif Haseefy.

Tambahnya lagi, “Memang saya harap dengan baki perlawanan liga ini, kita dapat kumpul lebih banyak mata untuk kita capai kedudukan lebih baik.

“Sekarang saya dah mula sertai latihan bersama mereka, tetapi kita tahu ada pemain lain seperti Eky (Shahrel Fikri) yang cedera juga, jadi hanya ini yang tinggal untuk terus beri aksi terbaik.

“Kalau nak ikutkan, saya juga masa awal awal cedera berdepan emosi agak kurang stabil, tetapi sekarang bila dah pulih, saya positif selepas mengharungi permulaan yang kurang baik musim ini,”tambahnya.

Bagi aksi Liga Super yang akan bersambung semula Sabtu ini, Selangor FC yang ketika ini di tangga kelima akan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.