Petrus Shitembi cedera serius, Terengganu FC tidak sempat cari pengganti baru

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perkhabaran duka buat kem Terengganu FC menjelang sepak mula Liga Malaysia 2021, apabila terpaksa melupakan kelibat tonggak utama, Petrus Shitembi berikutan kecederaan serius dialami pemain itu ketika perlawanan persahabatan.

Lebih malang, pengurus Terengganu FC, Zulfadli Rozi, mengesahkan laporan awal perubatan pemain yang mendapat jolokan ‘dancing shoes’ itu menunjukkan dia terpaksa berehat untuk jangka panjang, berkemungkinan besar tidak dapat digunakan dalam saingan musim ini.

Dengan jendela perpindahan pemain ditutup pada 5 Mac, Terengganu FC akur mereka tidak dapat mencari pengganti Petrus Shitembi sebaliknya akan memanfaatkan pemain dari pasukan feeder team mereka, Terengganu FC II.

Tinjauan Labola Malaya di kem latihan Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain mendapati mereka sudahpun memanggil jeneral tengah TFC II iaitu Dechi Marcel untuk menyertai latihan.

“Masa kian suntuk untuk mengikat pemain import lain, lagipun kita tidak mahu mengambil pemain baharu sekadar melengkapkan kuota dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC. Tapi pihak pengurusan akan merujuk pandangan daripada pakar perubatan lain sebelum menentukan sama ada Shitembi perlu menjalani pembedahan ataupun sebaliknya.

“Walaupun kita sudah tidak sabar untuk melihat dia beraksi, tapi kita perlu realistik, kita ada pemain dari pasukan TFC yang boleh digunakan lagipun pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya dan mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Shitembi. Kita percaya barisan jurulatih pasti dapat mencari solusi,” kata Zulfadli.

Sebagai rekod, Petrus Shitembi yang merupakan pemain kebangsaan Namibia sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Sabah FC. Dia adalah satu daripada empat pemain import baru Terengganu FC selain Makan Konate, David Da Silva, Carli De Murga dan Chris Herd.

Antara pemain tempatan baru yang memperkuatkan skuad sang penyu adalah Faisal Halim, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni, Hakimi Abdullah dan Asnan Ahmad.

Aksi pertama pasukan Terengganu FC bagi musim baru adalah menentang Uitm FC di Stadium Uitm pada Sabtu ini, disusuli perlawanan menentang Selangor di laman sendiri pada 9 Mac dan kemudiannya menentang Perak di Ipoh pada 14 Mac.

Foto ehsan : Terengganu Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.