Piala AFC 2021 zon ASEAN belum batal namun KDA dan TFC kena harap keajaiban

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hanya keajaiban sahaja boleh menyaksikan dua wakil Liga Malaysia, Kedah Darul Aman FC (KDAFC) dan Terengganu FC (TFC) beraksi dalam saingan Piala AFC 2021.

Ini kerana jika tiada negara atau pasukan yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Zon ASEAN sebelum Rabu (7 Julai), Konfederasi Bolasepak Asia akan memuktamadkan bahawa pertandingan itu dibatalkan.

“Jawatankuasa pertandingan sudah buat keputusan mana-mana saingan kumpulan Piala AFC 2021 yang tiada tuan rumah boleh dibatalkan. Kita akan maklumkan dalam dua hingga tiga hari lagi, kalau tanya hari ini (rasmi dibatalkan) belum lagi, surat masih belum keluar.

“Masih ada beberapa hari untuk kita (AFC) terima jika ada mana-mana pasukan boleh beri tawaran menjadi tuan rumah,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul kepada Bernama.

KDA FC dan TFC masing-masing diundi dalam Kumpulan H dan I saingan kejohanan itu sementara dua lagi kumpulan yang turut berdepan pembatalan adalah Kumpulan D dan G.

Pada Mei lalu, Singapura menarik diri daripada menganjurkan saingan Kumpulan H dan I Piala AFC 2021 berikutan situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu di rantau ini, sekali gus menjadikan perjalanan masuk ke republik itu agak mencabar bagi pasukan dari luar negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini turut dilaporkan tidak berhasrat memohon untuk menjadi tuan rumah bagi saingan kumpulan tersebut berdasarkan situasi semasa Covid-19 di negara ini.

AFC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, perlawanan di semua peringkat yang tidak boleh dimainkan disebabkan perkara yang timbul akibat pandemik Covid-19 akan dibatalkan dan pembatalan sedemikian akan diiktiraf sebagai ‘force majeure’ atau tidak diduga atau dikawal.

“Kalau dulu pasukan tidak tahu ia akan dibatalkan, sekarang mereka sudah tahu jadi mungkin mana-mana pasukan ada perkembangan terbaru untuk menjadi tuan rumah, kita alu-alukan kalau tidak kita terpaksa batalkan,” tambah Windsor.

Sementara itu, jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, “Kami menerima keputusan daripada AFC ini dan menganggap kejohanan itu memang sudah dibatalkan disebabkan kesukaran untuk mencari tuan rumah.

“Kami memahami perkara ini tetapi daripada segi pihak pengurusan, pemain dan penyokong, memang tidak dinafikan kami agak kecewa.”

Manakala pengendali KDA FC Aidil Shahrin Sahak pula berkata, “Mungkin tahun lalu mereka (pemain muda) dapat lihat kami beraksi dalam (playoff) Liga Juara-Juara Asia, jadi mereka seronok untuk mendapatkan pengalaman yang tidak boleh dibeli itu.

“Pada saya, ia memang sesuatu yang amat mengecewakan sekiranya ia terjadi (pembatalan Piala AFC 2021) tetapi kami masih belum dapat sebarang keputusan 100 peratus, jadi perkara ini mungkin boleh berubah.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.