Piala AFF : Akhyar Rashid Menyerlah, Pacu Kemenangan Ke Atas Kemboja

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad negara membuka kempen Piala AFF 2020 dengan langkah kanan setelah membenam Kemboja 3-0 di Stadium Bishan, Singapura.

Pemain sayap Johor Darul Takzim, Akhyar Rashid yang dipertikai pemilihannya ke dalam skuad, diturunkan dalam kesebelasan utama untuk mengemudi jentera serangan bersama-sama Guilherme De Paula dan Safawi Rasid, dan dia tampil menyerlah membalas kepercayaan diberikan Tan Cheng Hoe.

Akhyar Rashid mendapatkan penalti untuk gol pertama yang dijaringkan Safawi Rasid pada minit ke-23 dan kemudiannya menjaringkan gol kedua pada minit ke-62 setelah melakukan larian cantik dan menggelecek pertahanan Kemboja, sebelum melepaskan sepakan yang gagal diselamatkan Keo Soksela.

Dia hampir sahaja membantu skuad negara menambah satu lagi jaringan beberapa minit kemudian namun sepakan Safawi Rasid setelah menerima hantaran daripadanya terlalu lemah dan terus kepada Soksela.

Ketika tinggal 15 minit untuk tamat perlawanan, Cheng Hoe membuat empat pertukaran sekaligus apabila membawa masuk Shahrel Fikri, Kogileswaran Raj, Arif Aiman dan Luqman Hakim.

Kogi hanya mengambil masa beberapa minit untuk meledak jaringan ketiga pasukan selepas kemasukannya apabila merembat masuk hantaran dilakukan Luqman Hakim.

Beberapa minit sebelum tamat permainan, skuad negara beraksi dengan 10 pemain selepas Aidil Zafuan terpaksa diusung keluar kerana kecederaan.

Penjaga gol Khairul Fahmi yang membuat penampilan keenam di Piala AFF turut wajar diberikan kredit apabila tampil dengan permainan cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kemboja kendalian Keisuke Honda.

Hanya pada masa kecederaan, pemain itu menghadiahkan penalti kepada Kemboja yang dimanfaatkan untuk gol tunggal mereka.

Aksi seterusnya skuad negara akan menentang Laos pada 9 Disember.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.