Piala AFF : Arif Aiman Dipanggil Perkuat Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang muda Johor Darul Takzim, dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala AFF 2020 yang bermula pada Ahad ini di Singapura.

Panggilan saat akhir buat Arif Aiman hadir susulan Tan Cheng Hoe mahu menambah pilihan di bahagian sayap setelah Mohamadou Sumareh dikatakan tidak melapor diri sehingga ke saat artikel ini ditulis.

Bagaimanapun, penyenaraian nama pemain berusia 19 tahun itu boleh dianggap satu kejutan kerana dalam senarai dikeluarkan sebelum ini, yang berada di dalam senarai menunggu adalah Hakimi Abdullah.

Manakala nama Arif Aiman langsung tiada di mana Tan Cheng Hoe ketika itu memberitahu bahawa bimbang pemain ini akan kepenatan kerana bermain terlalu banyak perlawanan bersama JDT.

Kali terakhir kelibatnya disaksikan dalam jersi Harimau Malaya adalah ketika aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada Jun lalu.

Dia beraksi sebagai pemain gantian ketika menentang Vietnam dan berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Thailand.

Ketika Malaysia mengharungi dua aksi persahabatan di Jordan pada bulan lalu, Arif Aiman tidak disenaraikan, begitu juga di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.

Arif Aiman merupakan salah seorang pemain JDT paling menyerlah musim ini, membantu pasukan itu menjuarai Liga Super buat kali kelapan dan layak ke final Piala Malaysia.

Malah penyokong juga pastinya mengakui dia jauh lebih baik berbanding Sumareh serta dua lagi rakan sepasukan di JDT iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang turut berada dalam kem kebangsaan.

Turut dipanggil ke kem latihan adalah penjaga gol PJ City, Kalamullah Al Hafiz.

Tan Cheng Hoe sebelum ini dikatakan hanya akan membawa 24 pemain untuk menghadapi Piala AFF dan setakat ini sah telah menggugurkan Darren Lok, Kenny Palraj dan Akram Mahinan kerana kecederaan.

Di Singapura nanti, Malaysia akan membuka tirai dengan menentang Kemboja pada 6 Disember, disusuli Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.