Piala AFF : De Paula Sokong Diri Sendiri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula tidak mahu membenarkan perkara-perkara negatif yang diperkatakan mengenainya menjejaskan motivasi, tumpuan dan keyakinannya untuk terus memberi yang terbaik kepada Harimau Malaya.

Walaupun berterusan dikritik dan ibarat dibenci secara mutlak oleh penyokong, De Paula dalam satu luahan di instastory mengatakan di saat sukar seperti ini dia tidak lagi boleh mengharapkan sokongan orang lain sebaliknya dia sendiri perlu memberi sokongan kepada diri sendiri.

“Sukar apabila tiada siapa yang menyokong anda. Apabila tiada yang bertepuk tangan untuk anda. Itulah sebabnya anda perlu menjadi peminat besar anda sendiri.

“Anda perlu menyokong diri anda. Anda benar-benar perlu percaya pada diri sendiri apabila tidak ada orang lain yang percaya,” luahnya.

Kritikan terhadap De Paula bukan sesuatu yang baru, sejak awal dia menyarung jersi Harimau Malaya ketika menentang UAE pada Jun lagi dia sudah dikecam kerana tidak menunjukkan kesungguhan dan lebih banyak berjalan/berjogging di atas padang.

Malah dia juga tidak menyengat sepertimana diharapkan, hanya menjaringkan satu gol penalti ketika menentang Vietnam yang mana diraikannya seperti menang Piala Dunia sehingga penyokong menyifatkan menaturalisasikannya adalah satu kegagalan.

Terbaru dia sekali lagi tampil hambar ketika aksi pembukaan Piala AFF 2020 menentang Kemboja dan didakwa membaling botol sebagai tanda tidak puas hati kerana dikeluarkan pada minit ke-75.

Sementara itu, De Paula turut menerima sokongan moral daripada Liridon Krasniqi, pemain JDT yang dipinjamkan ke kelab India.

Liridon berharap De Paula tidak melayan komen negatif dan bangkit membuktikan sentuhannya masih berbisa sekaligus menutup mulut pengkritik.

Bagaimanapun, di sebalik penyerang dari Brazil itu turut menerima “back up” daripada Tan Cheng Hoe, belum ada kepastian dia akan diturunkan dalam aksi kedua menentang Laos berikutan pengendali itu mengakui tertarik dengan impak dibawa Arif Aiman, Luqman Hakim, Shahrel Fikri dan Kogileswaran Raj ketika menentang Kemboja.

“Kalau kita lihat bahagian pertahanan Laos terutama di pertahanan tengah mereka memang nampak kompak dan berdisiplin. Kami barisan jurulatih sedang bincang formula atau kombinasi terbaik untuk dapatkan keputusan positif. Bukan satu tugas mudah untuk kita dapatkan kombinasi itu.

“Tetapi kita nampak pemain yang diturunkan seperti Kogileswaran, Arif Aiman, Luqman dan Shahrel Fikri sedikit sebanyak memberi gambaran kepada kita pemain itu mampu diberi peluang untuk dalam barisan kesebelasan utama skuad kali ini,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.