Piala AFF : Fizikal & Psikologi Terjejas, Pemain Vietnam Lemah Tanpa Daging Babi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Portal berita Vietnam, Vietnam News mendedahkan kenapa daging babi adalah terlalu penting untuk pemain pasukan itu yang ketika ini beraksi di Piala AFF 2020 di Singapura.

Baru-baru ini ketua jurulatih Park Hang Seo menegur penganjur kerana menyediakan menu sama seperti ayam dan ikan, tetapi tiada daging babi yang sekaligus dikatakan tidak memenuhi keperluan nutrisi pemain dalam Piala AFF.

Isu tersebut bagaimanapun difahamkan telah selesai setelah sebuah kedai makan Vietnam di Singapura telah pun menerima tender untuk memastikan makanan mengikut selera rakyat tempatan mereka dihantar secara terus ke hotel penginapan.

Kenapa nak sangat daging babi? Rupanya ini kerana tanpa daging babi pemain-pemain Vietnam boleh menjadi lemah dan terganggu untuk memberikan tahap terbaik permainan mereka.

“Ini mungkin kelihatan remeh, tetapi atlet merasakan mereka perlu rasa selesa supaya dapat melakukan sesuatu yang terbaik. Ini kerana ia boleh memberi kesan kepada menang atau kalah.

“Tahap prestasi fizikal juga boleh menurun tanpa pengambilan nutrisi yang mencukupi dan seterusnya akan ada kesan psikologi berada di tempat asing dengan memakan makanan asing,” menurut Vietnam News.

Walaupun Vietnam dilihat tidak berdepan masalah memulakan misi mempertahankan kejuaraan mereka dengan menewaskan Laos 2-0 dalam aksi pembukaan, portal itu menyatakan kesan ketiadaan daging babi akan mula dirasai pada ketika saingan menuju ke penghujung.

“Untuk menewaskan pasukan kecil seperti Laos mungkin nampak mudah, kerana masalah pemakanan tidak menjejaskan mereka pada perlawanan pembukaan, tetapi aspek ini mereka perlukan pada peringkat akhir kejohanan dan mereka akan merasakan perbezaan antara memakan ayam dan daging babi,” tambah portal itu lagi.

Vietnam akan menentang Malaysia, lawan yang ditewaskan mereka pada final Piala AFF 2018 untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua, pada 12 Disember ini dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe sedang memimpin carta kumpulan dengan enam mata.

Ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Dubai pada Jun lalu, Vietnam meraih kemenangan 2-1 yang sekaligus menutup peluang pasukan negara untuk mara secara automatik ke Piala Asia 2023.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.