Piala AFF : Pemain Vietnam Tak Dapat Permit Masuk Singapura

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Vietnam yang datang ke Singapura dengan misi untuk mempertahankan Piala AFF menerima tamparan apabila salah seorang pemain tonggaknya Do Hung Dung tidak mendapat permit masuk ke negara itu.

Memetik sumber daripada  ZingNews, ia berpunca daripada kesilapan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) di mana nama Do Hung Dung tiada dalam senarai 30 pemain yang dihantar pada 24 November lalu.

Nama pemain yang baru pulih daripada kecederaan patah kaki itu dimasukkan dalam senarai pada 29 November 2021, iaitu lima hari selepas tarikh tutup.

Untuk memasuki Singapura dengan tujuan sebagai pemain yang beraksi di Piala AFF 2020, Do Hung Dung memerlukan kelulusan bertulis dari kerajaan Singapura.

Difahamkan pihak VFF dan Kedutaan Vietnam di Singapura sudah melengkapkan semua dokumen dan segala prosedur untuk Do Hung Dung menyertai pertandingan tahun ini, tetapi pihak berkuasa di Singapura tidak menerima rayuan untuk mengeluarkan surat jemputan tambahan.

Menurut kenyataan rasmi oleh VFF : “VFF telah menerima dokumen rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Singapura yang mengumumkan permohonan permit masuk Do Hung Dung ke Singapura belum diproses.

“Seperti yang dilaporkan, selepas tamat tempoh pemulihan kecederaan seperti yang diumumkan Kelab Hanoi, Do Hung Dung telah dipanggil oleh ketua jurulatih Park Hang Seo untuk memperkasa pasukan Vietnam di Piala AFF 2020.

“Dia melapor diri di kem latihan pada 27 November dan pada 29 November, VFF telah mendaftarkan namanya dalam senarai rasmi skuad Vietnam sepertimana ditetapkan penganjur kejohanan.

“Bagaimanapun, tarikh tutup untuk mendaftarkan pemain adalah pada 24 November, dan tempoh itu tidak boleh dilanjutkan. Walaupun VFF dan kedutaan Vietnam di Singapura telah menyelesaikan segala prosedur yang diperlukan supaya dia boleh menyertai skuad di Singapura, pihak berkuasa tetap bertegas tidak mahu mengeluarkan kebenaran kepada pemain ini.

“Oleh itu, dukacita dimaklumkan, Do Hung Dung akan terlepas saingan Piala AFF, ini amatlah malang untuk dia dan juga Vietnam. Dengan ini, kita akan teruskan saingan dengan hanya 29 pemain, Kita juga tidak akan memanggil pengganti, walaupun nama pemain tengah Ly Cong Anh ada dalam senarai yang dihantar terdahulu, tetapi memandangkan dia tidak terbang bersama kita pada 1 Disember, sudah tentu sukar untuk dia memasuki Singapura.”

Sebagai rekod, Vietnam bertandang ke Singapura dengan membawa barisan terbaik, di mana 80 peratus daripadanya merupakan pemain yang beraksi dalam pusingan akhir saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan mereka telah berkumpul lebih awal sejak bulan lalu.

Beberapa tonggak utama yang membantu Vietnam menjuarai Piala Suzuki AFF 2018 turut disenaraikan iaitu kapten pasukan, Que Ngoc Hai, pertahanan Bui Tien Dung, Do Duy Manh dan Tran Dinh Trong, pemain tengah Nguyen Quang Hai, Luong Xuan Truong dan Pham Duc Huy, serta penyerang prolifik seperti Nguyen Tien Linh dan Nguyen Cong Phuong.

Park Hang-seo juga mengugurkan lima pemain muda seperti Ly Cong Hoang Anh, Ho Thanh Minh, Le Van Do, Pham Tuan Hai and  Pham Van Cuong. Lebih mengejutkan, Minh yang menjaringkan 1-0 ketika menentang Myanmar dan membantu Vietnam layak ke Piala Asia B-23 tahun depan turut digugurkan.

Vietnam akan memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2020 dengan menentang Laos pada 6 Disember, kemudian menentang Malaysia pada 12 Disember. Dua lawan terakhir yang menanti mereka ialah Indonesia (15 Disember) dan Kemboja (19 Disember).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.