Piala AFF : Tinggal 21 Pemain, FAM Jawab Kenapa Tak Bawa Lebih Pemain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas dua pemain iaitu Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid terpaksa disisihkan sekurang-kurangnya 10 hari kerana positif Covid-19, Harimau Malaya hanya ada 21 pemain untuk meneruskan cabaran di Piala AFF 2020.

Tan Cheng Hoe membawa hanya 24 pemain untuk pertandingan kali ini di Singapura, dengan Dion Cools akan menyertai kem negara sedikit lewat dan dijangka hanya boleh diturunkan selepas perlawanan ketiga kumpulan menentang Vietnam.

Jumlah pemain yang semakin berkurang pastinya menggusarkan dan ini menyebabkan rata-rata penyokong mempersoalkan keputusan untuk tidak membawa lebih pemain memandangkan penganjur Persekutuan Bolasepak ASEAN membenarkan 30 pemain untuk disenaraikan.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menjelaskan kenapa Cheng Hoe hanya menyenaraikan 24 pemain, termasuk tiga penjaga gol.

“Kita mendaftarkan 70 pemain dan selepas itu, kita daftarkan 30 pemain tetapi kerana masalah kecederaan, kita tidak boleh tambah pemain lagi kecuali penjaga gol,” katanya kepada BH Sukan.

Ini bermakna Saifuddin mengatakan kecederaan adalah punca, tetapi betul ke penjelasan beliau itu, kerana ketika FAM mengumumkan senarai awal 28 pemain untuk melapor diri pada 17 November lalu, sudahpun dinyatakan bahawa Cheng Hoe hanya akan membawa 24 pemain.

Maknanya, semua tahu dari 28 pemain, empat akan digugurkan dan tidak dibawa ke Singapura, bukannya kerana kecederaan. Baca di sini : Senarai 28 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Kemudiannya apabila Darren Lok mengalami kecederaan, senarai berkurang kepada 27 pemain, dan Cheng Hoe tidak memanggil pengganti. Selepas Akram Mahinan, Kenny Palraj dan Azri Ghani pula mengalami kecederaan, terpaksa digugurkan manakala Mohamadou Sumareh tidak melapor diri, senarai menjadi 23 pemain.

Selepas itu Arif Aiman dan Kalamullah Al Hafiz mendapat panggilan kecemasan, menjadi 25 pemain, dengan akhir sekali Fayyadh Zulkifli digugurkan untuk senarai akhir 24 pemain yang ada di Singapura sekarang ini. Jadi bukankah memang perancangannya adalah membawa 24 pemain sahaja, kenapa kaitkan dengan kecederaan?

Dalam pada itu, Saifuddin berharap AFF akan membenarkan Malaysia untuk memanggil pemain baru ekoran situasi yang tidak diduga ini.

“Kita sudah menulis surat kepada AFF untuk memohon supaya kita boleh membawa pemain yang baharu memandangkan kita berdepan perkara yang tidak dijangka. Lagipun Kuala Lumpur dengan Singapura tidaklah jauh mana.

“Jadi kita sedang menunggu maklum balas daripada Jawatankuasa Pertandingan AFF dan bantuan daripada Persatuan Bolasepak Singapura (FAS). Mereka sangat membantu kerana memahami situasi luar jangka sebegini,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.