Piala FA Berbeza Dengan Liga, Penang Berpotensi Mengamuk Berdepan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika mengambil kira prestasi semasa dan kedudukan di dalam Liga Super, Johor Darul Takzim adalah pilihan mutlak untuk mengatasi Penang FC dalam aksi separuh akhir Piala FA 2022.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat, dan JDT yang merupakan pendahulu liga dijangka tidak akan berdepan masalah menyingkirkan Penang yang menduduki hujung bertentangan.

Tetapi, saingan Piala FA sentiasa ada keajaibannya tersendiri, sentiasa menjanjikan kejutan. JDT silap jika mereka memandang cabaran Penang sebelah mata.

Penang yang tewas dua aksi sebelum ini dalam Liga Super, pastinya sudah bersedia untuk mengeluarkan taring yang diasah dan disimpan untuk digunakan tepat pada waktunya.

Telah kita lihat, bagaimana anak buah Zainal Abidin Hassan melangkah penuh bergaya dengan mencatat kemenangan besar dalam setiap pusingan – menewaskan Bukit Tambun 4-0 di pusingan pertama, menewaskan Perak 4-1 dan membelasah Pahang di gelanggang lawan dengan jaringan 5-2.

Mereka kini berpotensi untuk mengamuk apabila berdepan skuad JDT kendalian Hector Bidoglio, satu hakikat yang diakui sendiri oleh penyerang skuad harimau selatan, Fernando Forestieri.

“Hanya selangkah lagi untuk ke pentas final namun kami harus berwaspada dengan ancaman pasukan lawan. Saingan Piala FA berbeza dengan liga, ia aksi kalah mati dan rentak permainan juga akan lebih agresif kerana kedua-dua pasukan mahu kemenangan.

“Malah kita telah menyaksikan pasukan lawan bangkit untuk menang di suku akhir selepas ketinggalan 2-0, jadi ia perlawanan 50-50,” kata Forestieri dipetik dari BH Sukan.

JDT sebelum ini melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan BRM FC 10-0 di pusingan pertama, Sarawak United 3-0 di pusingan kedua dan Melaka United 2-1 di pusingan suku akhir.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.