Piala Malaysia : Aidil Sharin Sasar Final Kedua Bersama Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kedah Darul Aman (KDAFC) Aidil Sharin Sahak menyasarkan untuk membawa pasukannya itu mara ke final Piala Malaysia sekali lagi, selepas melakukannya pada 2019.

KDAFC bergelar naib juara ketika itu setelah tewas kepada Johor Darul Takzim.

“Semestinya saya ingin kekalkan apa yang telah diraih bersama pasukan termasuklah apabila saya kali pertama berjaya merasai pentas final pada 2019.

“Pada tahun ini, kita juga ingin mengulangi kembali pencapaian itu tetapi kita tetap kena ingat bahawa pasukan-pasukan lain mempunyai misi yang sama dan persaingan akan semakin sengit selepas ini untuk memburu kemenangan,” tambahnya.

Tahun ini, KDAFC telah diundi bersama Melaka United, Negeri Sembilan dan Kelantan United dalam Kumpulan C.

Mereka membuka tirai saingan edisi ke-100 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Kelantan United namun dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Melaka United dalam aksi kedua.

Aidil Sharin bagaimanapun memberi jaminan anak buahnya akan tampil lebih berbeza untuk kembali ke landasan kemenangan apabila saingan yang ketika ini berhenti rehat kembali bersambung pada 29 Oktober.

Apa yang penting, pengendali berusia 44 tahun dari Singapura ini mengingatkan kepada anak buahnya untuk belajar daripada kesilapan dan akan terus memantau prestasi mereka dalam beberapa perlawanan persahabatan yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Aidil Sharin juga berharap empat pemain iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Ariff Farhan dan Fayadh Zulkifli yang kini bersama skuad kebangsaan kembali semula ke pangkuan kelab dalam keadaan bebas kecederaan selain mahu memastikan mereka kekal cergas dalam tempoh menjalani kuarantin.

“Kita akan bersedia dengan rapi untuk menentang Negeri Sembilan pada 29 Oktober ini, tiada guna untuk kita ingat balik kekalahan kepada Melaka tempoh hari.

“Sebab itu, kita kena bersedia dengan perancangan lebih baik, dan mungkin kita akan ke Kuala Lumpur untuk bersedia dengan beberapa perlawanan persahabatan.

“Sekarang pemain-pemain yang bersama skuad negara akan menjalani kuarantin 14 hari sebaik sahaja pulang ke Malaysia, jadi biasanya kalau dalam kuarantin, kecergasan menjadi aspek utama dan diharapkan mereka akan lebih cergas untuk bersedia membantu Kedah pula,” jelasnya.

Foto kredit : Arena Hijau Kuning

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.