Piala Malaysia : Kelantan Sedia Bangkit Kecewakan Sabah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekalahan kepada Johor Darul Takzim dalam aksi pembukaan Piala Malaysia tidak sedikitpun membunuh keyakinan di kem Kelantan FC.

Sebaliknya skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya sudah bersedia untuk bangkit apabila bertemu Sabah FC dalam perlawanan kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Khamis.

Menurut Rezal jika barisan pemain mengulangi aksi sama ketika tewas kepada JDT pada Isnin lalu, tidak mustahil mereka boleh melakar kejutan dan mengutip tiga mata.

Rezal yang mendapat kepercayaan menggantikan Marco Ragini yang terpaksa direhatkan akibat masalah kesihatan, bagaimanapun menghormati kredibiliti Dato’ Ong Kim Swee yang kaya dengan pengalaman serta mampu memberikan nafas baharu kepada pasukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan kerana percaya dengan saya biarpun boleh dikatakan, saya masih dalam kategori jurulatih muda bagi kancah Liga Malaysia dan saya berani sahut cabaran untuk bawa pasukan melangkah ke suku akhir TM Piala Malaysia.

“Aksi dengan Sabah sememangnya sangat menarik kerana mereka juga mendapat khidmat jurulatih baru yang pasti akan mendapat tonik serta corak permainan terbaharu.

“Kelebihan pemain-pemain tempatan Sabah ialah mereka telah lama dalam satu pasukan selain kemampuan pemain import yang tidak boleh dipandang rendah.

“Apa yang saya mahu tekankan dalam kalangan pemain, kekalkan disiplin dalam mengikuti taktikal yang diarahkan seperti mana mereka lakukan semasa berdepan JDT serta kurangkan kesilapan apabila bertemu pasukan-pasukan dari Liga Super,” kata Rezal.

Dalam pada itu, pemain Sabah FC, Park Tae Su mengakui aksi menentang Kelantan FC cukup penting bukan sahaja untuk meraih tiga mata tetapi peluang terbaik menamatkan kemarau 11 perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Dia yang masih segar dengan jaringan ‘menggegar dunia’ semasa membantu Sabah seri 1-1 dengan PJ City dalam aksi sulung, berkata keyakinannya semakin membara dan mengharapkan rakan sepasukan juga akan tampil lebih bersemangat bagi hadapi perlawanan yang akan mendatang.

“Sememangnya pasukan kami sudah lama tidak memenangi sebarang perlawanan dan bertemu Kelantan, sudah tiada pilihan lagi kecuali menang bagi mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya.

“Kami sudah 11 perlawanan tidak menang dan kali terakhir semasa berdepan Melaka pada 5 Mei lalu di laman sendiri, jadi saya harap selepas aksi yang baik dengan PJ City, kami mampu teruskan ketika berdepan Kelantan.

“Sebagai individu, saya sangat gembira dengan jaringan yang dilakukan pada perlawanan lepas kerana itu adalah gol terbaik sepanjang di dalam karier saya sebagai pemain bola sepak dan harap itu mampu jadi pemangkin semangat kepada pasukan.

“Tambahan saya merupakan pemain di posisi pertahanan, sangat jarang untuk saya menjaringkan gol dan bertambah buat saya rasa berbangga, jaringan itu turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk ciapan di twitter FIFA.

“Biasanya sepakan percuma dalam pasukan akan diambil Levy Madinda atau Saddil Ramdani, cuma pada perlawanan itu, saya mendapat keyakinan untuk mengambilnya malah saya meminta dari Levy sendiri, tidak sangka jaringan mampu dihasilkan, harap saya boleh lakukan lagi pada perlawanan lain, ” katanya.

Foto ehsan : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.