Walaupun meraih enam mata percuma susulan penarikan diri Negeri Sembilan FC, peluang Kedah Darul Aman FC melangkah ke suku akhir Piala Malaysia masih samar dan belum terjamin.
Itu pandangan kapten pasukan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar yang menyifatkan laluan mereka hanya boleh dikatakan selamat dan selesa sekiranya berjaya menewaskan Kelantan United FC terlebih dahulu pada 6 November depan.
Pemain tengah itu berkata kekalahan kepada Melaka United dalam aksi kedua bulan lalu membuktikan apa sahaja boleh berlaku sekiranya mereka ambil mudah baki dua perlawanan terakhir.
“Memang la enam mata yang diberikan itu satu bonus buat kami sebab kami memang perlukan kemenangan ini selepas kalah dengan Melaka tempoh hari, dan kali ini dengan penarikan diri Negeri Sembilan memberi sedikit kelegaan kepada pasukan.
“Cuma ia tetap tidak akan menjamin apa-apa kerana masih ada dua perlawanan yang kena fokus dan kami pula ada rehat yang panjang lagi sebelum bertemu Kelantan United, momentum mesti lari sedikit dan sekarang kena sentiasa tingkatkan prestasi dalam latihan.
“Sebenarnya perjalanan ke suku akhir saya boleh katakan masih samar sebab yang penting kita kena menang dulu dengan Kelantan United, selepas itu baru kita akan nampak macam mana perjalanan seterusnya untuk layak”, ujar pemain berusia 33 tahun itu.
Baddrol juga menyatakan bahawa momentum pasukan bertambah baik selepas mengharungi tiga siri aksi persahabatan dan mereka akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan selepas ini memandangkan Kedah Darul Aman FC masih ada lebih kurang satu minggu sebelum turun menentang Kelantan United.
“Walaupun dah rehat panjang, pada awalnya risau juga takut momentum kami terbantut, tetapi saya boleh katakan kami semua dah dapat rasa suasana perlawanan sebenar selepas menentang beberapa pasukan dalam aksi persahabatan sebelum ini.
“Cuma saya harap kami semua dapat mengekalkan momentum ini dan akan memberikan persembahan baik dalam dua perlawanan penting pada bulan hadapan”, tambahnya.
Mengikut jadual asal, Kedah bimbingan Aidil Sharin Sahak sepatutnya berdepan Negeri Sembilan pada Jumaat ini dan Selasa depan.
Mereka kini di tangga kedua Kumpulan C dengan tiga mata manakala Melaka United di tangga teratas setelah melakar dua kemenangan berturut-turut.