Piala Malaysia : “Peluang KL City Jadi Juara Boleh Kata Langsung Tiada”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan Johor Darul Takzim disifatkan sebagai pilihan mutlak untuk menjulang Piala Malaysia 2021 pada Selasa ini.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata JDT terlalu sempurna dan dia tidak dapat mencari sebab kenapa pasukan kendalian Benjamin Mora itu tidak boleh muncul juara.

“Bagi saya 90 peratus JDT akan menang, mereka memiliki kualiti pemain yang terbaik, taktikal serta corak permainan yang sangat bagus. 10 peratus itu pun bukan kerana KL City kuat, tapi nasib malang. Nasib malang sahaja yang boleh menghalang JDT daripada menjadi juara.

“Bukan nak perkecilkan KL tetapi memang JDT berada di satu tahap berbeza daripada pelbagai aspek. Ini realitinya, ia telah dibuktikan JDT yang mendominasi Liga Super selama lapan musim berturut-turut.

“Daripada segi fasiliti dan segala aspek pasukan ini jauh meninggalkan pasukan lain dalam Liga Malaysia,” ujar Serbegeth yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur pada 1987, 1988 dan 1989 dipetik daripada Utusan Malaysia.

Kalau diikutkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini dalam saingan LIga Super, masing-masing terikat 1-1 di Cheras manakala JDT menang 2-1 dalam pertemuan kedua di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus menunjukkan KL City bukannya tidak boleh memberikan saingan.

Serbegeth atau dikenali sebagai Shebby bagaimanapun berkata rekod pertemuan itu tidak lagi boleh diambil kira kerana tekanannya adalah berbeza.

“Pasukan Terengganu dalam Liga Super pun kalahkan JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Jadi persembahan dalam liga memang tak boleh diambil kira, ia berbeza. Tekanan di final lain, kita tak boleh samakan dengan liga.

“Apa yang harus KL City elak adalah jangan bolos gol minit awal. Sebab JDT memang sudah jadi tabiat mereka akan cari gol awal dan selepas itu mengawal tempo perlawanan.

“Kekuatan JDT pada musim ini lebih kepada berpasukan dan bukannya individu. Semalam (lawan Terengganu FC) tiada Leandro, walaupun beraksi tanpa perancang tapi tetap boleh dapat tiga gol,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, KL City melakar sejarah melangkah ke final buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun selepas menyingkirkan Melaka United di separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 di Stadium Hang Jebat pada Jumaat.

Manakala JDT pula melayakkan diri dengan penuh bergaya menerusi agregat 4-1 selepas membelasah Terengganu FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi separuh akhir kedua.

Foto Kredit : NSTP/BH Sukan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.