Piala Malaysia : PJ City Lebih Berbahaya Dengan Kembalinya Darren Lok

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kapten PJ City FC, K.Gurusamy percaya kehadiran semula penyerang utama, Darren Lok, setelah berehat lama kerana masalah kecederaan memberikan kekuatan tambahan di bahagian serangan pasukan itu.

Tidak merendahkan sumbangan pemain-pemain lain seperti Khyril Muhymeen, Mahalli Jasuli, V.Ruventhiran, R.Kogileswaran dan Sunil Chandran yang sentiasa membantu jentera serangan, dia mengakui Darren Lok mempunyai kelebihan dari segi fizikal bagi membantu jentera serangan PJ City.

Penyerang kacukan England-Malaysia itu menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Sabah FC dalam aksi pertama Piala Malaysia 2021 pada 26 September lalu, bagi memastikan PJ City meraih satu mata.

“Sejak kehadiran Darren, kami boleh lihat banyak peningkatan dalam usaha kami mendapatkan jaringan kerana dia memberikan kekuatan fizikal yang diperlukan.

“Sebelum ini, mata kami banyak dibantu oleh kekuatan pertahanan selain kecemerlangan Kalamulllah di posisi penjaga gol selepas kami berjaya dapat jaringkan satu gol atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri apabila Darren cedera dalam kebanyakan perlawanan Liga Super.

“Pemain-pemain lain seperti Khyril dan Mahalli terutamanya banyak membantu sebelum ini cuma dengan kembalinya Darren, saya rasa itu telah memberikan keyakinan tambahan kepada kami semasa melakukan serangan, ” kata Gurusamy.

Sementara itu, Gurusamy berharap PJ City boleh layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kali selepas kandas di peringkat kumpulan dalam dua percubaan sebelum ini.

Biarpun sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan Sabah FC dan tewas tipis 0-1 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Gurusamy berasakan peluang masih terbuka bagi mereka mencari slot ke suku akhir.

“Jika dilihat kepada pasukan dalam kumpulan kami, saya rasa PJ City ada peluang untuk ke suku akhir dengan JDT sudah semestinya jadi pilihan utama untuk layak berdasarkan kualiti pemain serta dua kemenangan yang mereka perolehi setakat ini.

“Saya rasa kami mampu bersaing dengan Sabah dan Kelantan sambil berasakan tahap persaingan Kumpulan D sebenarnya agak terbuka antara semua pasukan biarpun ramai mengatakan kami sebagai pasukan pilihan untuk iringi JDT.

“Kami sama sekali tidak boleh memandang rendah Sabah yang saya rasakan masih sebuah pasukan berkualiti sementara Kelantan mempunyai tradisi tersendiri dalam Piala Malaysia.

“Memandangkan PJ City ini adalah 100 peratus terdiri daripada pemain tempatan, maka kami kena berikan fokus pada tahap dua kali ganda kerana semua orang tahu di Piala Malaysia, semua pasukan biasanya akan berhabis-habisan untuk peraga aksi terbaik, ” katanya.

PJ City yang sebelum ini dikenali nama MISC-MIFA , layak buat pertama kali pada saingan Piala Malaysia pada musim 2018 namun hampa di perlawanan terakhir apabila tewas 0-3 kepada JDT serta dipintas oleh Kelantan bagi sekadar menamatkan cabaran di tempat ketiga kumpulan.

Skrip sama terjadi musim berikutnya selepas dijenamakan kepada PJ City, apabila tewas 0-3 kepada PKNP FC dan sekali lagi mereka di tempat ketiga kumpulan, di belakang JDT serta PKNP.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.