Piala Malaysia : Sri Pahang Terkejut Lagi, Hanya Terengganu Lakar Kemenangan Kedua

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Peluang untuk Sri Pahang FC melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Malaysia 2021 nampaknya semakin samar apabila mengalami kekalahan kedua, kali ini 0-1 di tangan Sarawak United di Stadium Uitm Shah Alam.

Ini adalah kekalahan ketujuh berturut-turut buat skuad bimbingan Dollah Salleh dalam semua pertandingan, sebelum ini mereka tewas kesemua lima aksi terakhir Liga Super.

Gol tunggal buat Sarawak United bimbingan E.Elavarasan dijaringkan pada minit ke-61 oleh Tommy Mawat Bada.

Sarawak United yang mengejutkan Penang FC dalam aksi pembukaan kini memimpin carta Kumpulan A dengan enam mata, manakala Sri Pahang menghuni tangga tercorot.

Satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Penang FC terlepas peluang melakar kemenangan pertama apabila terikat 1-1 menentang KL City di Stadium Bandaraya.

Skuad bimbingan Thomas Trucha begitu hampir mengutip tiga mata apabila mendahului menerusi Sheridin Boboev pada minit ke-77 namun Romel Morales berjaya menyelamatkan satu mata buat KL City menerusi jaringan penyamaan pada masa kecederaan.

Sementara itu aksi Kumpulan B pula menyaksikan Terengganu FC tampil dalam kelas tersendiri untuk mengecewakan Selangor FC 2-1 di Stadium sultan Mizan Zainal Abidin.

Skuad Nafuzi Zain mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Dechi N’Guessan sebelum menggandakan kelebihan menerusi Lee Tuck pada minit ke-52.

Jaringan Asmawi Yakin pada minit ke-75 sekadar menjadi gol saguhati buat red giants tatkala Terengganu mempertahankan kelebihan satu gol untuk melakar kemenangan kedua.

Manakala dalam satu lagi aksi, Kuching City dan Perak FC mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Pasir Gudang.

Kuching City mendahului pada minit ke-10 menerusi Hudson De Jesus namun Perak bangkit menyamakan kedudukan nenerusi sepakan penalti Adib Raop pada minit ke-49.

Alif Hassan meletakkan skuad Irfan Bakti kembali di depan pada minit ke-67 namun sekali lagi Perak bangkit mengikat kedudukan menerusi Aizat Safuan Razali tiga minit kemudian seterusnya mencuri satu mata penting.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.