Piala Malaysia : Tamatkan Riwayat Harimau Selatan Dalam 90 Minit

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Biarpun di atas kertas Johor Darul Takzim (JDT) dilihat memiliki kelebihan besar dan dianggap pilihan untuk muncul juara Piala Malaysia 2021 pada Selasa ini, itu tidak bermakna peluang buat KL City langsung tiada.

Bekas pemain Kuala Lumpur, Subadron Aziz yang juga anggota skuad juara Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989 berkeyakinan skuad bimbingan Bojan Hodak akan meneruskan sensasi yang dilakar dalam kempen musim ini dan dia mahu mereka menamatkan riwayat Harimau Selatan dalam 90 minit.

“Sebelum perlawanan lagi, sudah ramai yang meletakkan JDT sebagai pilihan untuk muncul juara. Ya memang benar sebab JDT sebuah pasukan yang serba lengkap.

“Tetapi tidak mustahil JDT juga mampu dikalahkan dengan syarat semua pemain Kuala Lumpur ada semangat berpasukan serta disiplin yang tinggi apabila turun ke padang nanti.

“Alang-alang dah mara ke final, mereka perlu menang. Ini kerana kalau tak menang, orang tak pandang dan saya ini semua atas pengalaman saya sendiri apabila Kuala Lumpur tewas kepada Johor pada final Piala Malaysia 1985.

“Kali ini pun sama, bila dah masuk final, sasarannya mesti mahu jadi juara. Walaupun ada Harimau Selatan (JDT) di depan mata, kena fikirkan macam mana nak jinakkan harimau itu.

“Dalam masa sama, jika boleh, cuba elakkan perlawanan akhir ini berlarutan sehingga masa tambahan kerana pada semua final (1987, 1988, 1989), Kuala Lumpur berjaya habiskan dalam tempoh 90 minit.

“Jadi semua pemain Kuala Lumpur diingatkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan nanti. ‘Tekan’ betul-betul dan ‘lanyak’ cukup-cukup untuk mencapai kemenangan.

“Jika leka dan terpaksa main dalam masa tambahan 120 minit, mungkin pemain akan berdepan kesukaran. Jadi kalau boleh, habiskan dalam 90 minit,” ujar bekas pemain kebangsaan itu kepada Sukan Sinar.

Final Piala Malaysia akan berlangsung pada Selasa, 30 November di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan JDT turun membawa misi mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada 2019 seterusnya melengkapkan kejuaraan berganda.

Manakala KL City pula mara ke final buat pertama kali sejak kejayaan menumbangkan Kedah di pentas final 1989 dan bersemangat tinggi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 32 tahun.


Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.