Piala Sudirman : Malaysia Gagal Teruskan Kejutan, Disingkirkan Jepun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hajat besar pasukan badminton negara untuk meneruskan kejutan di Piala Sudirman tidak kesampaian selepas kecundang 1-3 kepada Jepun dalam aksi separuh akhir.

Malaysia turun dengan keyakinan tinggi selepas mempamer aksi bertenaga ketika melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Indonesia pada Jumaat.

Namun ternyata Jepun berada dalam kelas tersendiri untuk mengecewakan pasukan negara seterusnya menempah tiket beraksi di final.

Beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi sandaran untuk menghadiahkan mata sulung, kecundang 15-21, 14-21 kepada gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Pemain perseorangan wanita, Kisona Selvaduray yang menggalas harapan untuk mengikat kedudukan gagal untuk menangani tekanan besar yang diletakkan, menyaksikannya tewas mudah 7-21, 5-21 dalam masa 27 minit kepada Akane Yamaguchi.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia memastikan cabaran Malaysia tidak berakhir awal apabila menundukkan Kento Momota 22-20, 21-19 dalam masa satu jam untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Namun Jepun mengesahkan kemenangan 3-1 menerusi gandingan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo yang menewaskan Pearly Tan-M.Thinaah dalam acara beregu wanita.

Pearly dan Thinaah yang mendapat pujian peminat badminton tanah air serta bekas jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei atas permainan menghiburkan ketika menentang Indonesia, sekali lagi tampil dengan permainan menarik dan memberikan tentangan sengit.

Namun pasangan Jepun yang baru digandingkan itu nyata terlalu kuat buat mereka apabila mengesahkan kemenangan straight set 21-19, 21-17.

Jepun akan bertemu China dalam aksi final yang dijadual berlangsung Ahad.

China menyingkirkan Korea Selatan dengan keputusan 3-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal. Mata buat negara tembok besar itu disumbangkan Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, Shi Yu Qi dan Chen Yu Fei.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.