Piala Sudirman : Malaysia Singkirkan Indonesia Penuh Dramatik

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysia melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Indonesia untuk mara ke separuh akhir Piala Sudirman buat pertama kali sejak 2009, terima kasih kepada gandingan beregu campuran Hoo Pang Ron/Cheah Yee See.

Ia menjadi malam cukup panjang buat peminat badminton kedua-dua negara, yang disajikan aksi menghiburkan dan menggoncang jantung selama lebih enam jam bermula dengan pertembungan beregu lelaki.

Pemenang pingat gangsa Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil dengan permainan serangan pantas untuk menghadiahkan mata pertama buat Malaysia, dengan menewaskan beregu nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo/Marcus Fernaldi Gideon 21-12, 21-15.

Kedudukan terikat 1-1 setelah perseorangan wanita Kisona Selvadurai tampil dengan permainan cukup bertenaga sebelum tunduk kepada Gregoria Mariska Tunjung dalam perlawanan sengit tiga set 22-20, 19-20, 19-20.

Malaysia kembali mendahului 2-1 menerusi jaguh perseorangan lelaki Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah menewaskan Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16 dalam masa 44 minit.

Kedudukan kembali terikat 2-2 setelah pasangan beregu wanita Pearly Tan/M.Thinaah tunduk kepada Greysiia Poli/Apriani Rahayu.

Di sebalik kekalahan yang dialami, dua pemain muda negara itu mencuri perhatian dan mendapat tepukan hebat daripada penyokong atas semangat dan permainan bertenaga ditunjukkan mereka untuk mengheret pemenang pingat emas olimpik itu ke rubber set.

Mereka tewas 20-22 di set pertama dan menang 21-17 di set kedua.

Meskipun tidak berjaya melakar kejutan, Pearly dan Thinaah menghadirkan cuak kepada Greysia/Apriani apabila tidak menyerah mudah dan cuba bangkit mengejar di set penentuan sebelum tunduk 18-21 dalam masa satu jam 31 minit.

Gandingan beregu campuran Hoo Pang Ron/Cheah Yee See menyumbang mata kemenangan, namun mereka juga dikerah beraksi tiga set sebelum berjaya menundukkan gandingan nombor empat dunia Jordan Praveen-Oktavianti Melati Daeva.

Pang Ron/Yee See menang set pertama 21-19 sebelum tunduk mudah di set kedua 9-21 dan menang di set penentuan 21-16.

Ini adalah kemenangan pertama Malaysia ke atas Indonesia dalam sejarah Piala Sudirman, dan selepas ini skuad negara akan menentang Jepun dalam aksi separuh akhir.

Naib juara 2019 itu melangkah ke separuh akhir setelah menewaskan Chinese Taipei.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu di peringkat kumpulan dua hari lalu, Jepun menang 4-1.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.