Piala Thomas : Malaysia Boleh ‘Makan’ Jepun, Mereka Takdelah Terlalu Kuat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Datuk Rashid Sidek percaya Jepun perlu menyandarkan kepada kekuatan pemain perseorangan lelaki mereka untuk mencabar Piala Thomas yang bermula pada Sabtu ini di Aarhus, Denmark.

Rashid Sidek, yang juga tonggak skuad juara Piala Thomas 1992 berkata kekuatan keseluruhan pasukan Jepun sedikit terjejas berikutan persaraan jaguh beregu mereka Hiroyushi Endo, Takuya Kimura dan Keigo Sonoda.

Trio itu memainkan peranan penting dalam membantu Jepun memenangi Piala Thomas buat pertama kali di India pada 2014 dan kemudiannya muncul naib juara setelah tewas kepada China di Bangkok pada 2019.

Begitupun Jepun bernasib baik kerana mereka masih mempunyai antara barisan pemain perseorangan terbaik dalam kalangan 15 pasukan bertanding, diketuai pemain nombor satu dunia Kento Momota.

Dua lagi pemain perseorangan mereka adalah Kanta Tsuneyama yang menduduki ranking ke-13 dunia, serta Kento Nishimoto yang berada di ranking ke-16 dunia.

Hanya Denmark dan Indonesia dua lagi pasukan yang mana kesemua tiga pemain perseorangan mereka berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

“Pada pendapat saya, skuad Jepun kali ini tidaklah begitu kuat tapi dalam masa sama kita juga tak boleh kata mereka pasukan yang lemah. Walaupun pemain beregu senior mereka telah bersara, mereka tetap ada sebuah skuad yang agak seimbang terutama dalam acara perseorangan yang akan menjadi taruhan mereka.

“Perseorangan kedua dan ketiga mereka (Tsuneyama dan Nishimoto) juga merupakan nama yang besar jadi ini sudah cukup untuk katakan mereka boleh mencabar kejuaraan.”

Rashid menekankan bahawa Jepun juga akan meletakkan tekanan tinggi ke atas Momota untuk menyumbang satu mata ‘wajib’ dalam setiap perlawanan.

Namun sama ada pemain itu boleh melakukannya atau tidak tetap menjadi keraguan memandangkan Rashid mengakui pemain itu tidak berada pada tahap terbaik permainannya.

“Berdasarkan prestasi ditunjukkan di Piala Sudirman, Momota masih bergelut mencari konsistensi. Saya boleh kata di kemungkinan tidak bermain pada tahap sebenar dan hanya sekitar 80-85 peratus potensinya.

“Saya tidak tahu sama ada ia faktor kecergasan atau keyakinan. Tapi ianya boleh difahami, bukan mudah untuk bangkit semula ke puncak prestasi dengan keadaan yang dia lalui,” ujar Rashid.

Malaysia belum pernah bertemu Jepun dalam saingan Piala Thomas sejak tewas kepada lawan itu 3-2 di final tujuh tahun lalu tetapi Rashid berkeyakinan Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengatasi mereka apabila kedua-duanya bertemu dalam aksi Kumpulan D.

Rashid berpendapat, beregu kedua negara iaitu Goh Sze Fei-Izzudin Rumsani yang berada di ranking ke-27 dunia, akan menjadi kunci kemenangan Malaysia.

“Malaysia sudah tentu akan meletakkan harapan kepada Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mendapatkan dua mata yang pertama. Namun untuk memenangi perlawanan, kita perlu mencari mata ketiga yang juga mata kemenangan dan di sinilah saya harap Izzudin dan Sze Fei akan menyumbang.

“Mereka mungkin baru membuat penampilan sulung, tetapi jangan lupa mereka telah beraksi secara kerap di Jelajah Dunia serta pernah mara ke separuh akhir dan akhir. Jadi tiada alasan untuk mereka tidak menyumbang kerana mereka akan menentang lawan sama taraf,” ujar Rashid.

Rashid juga berkata Malaysia perlu menyasarkan untuk muncul juara kumpulan kerana ia akan memberi impak besar kepada keyakinan dan motivasi kepada barisan pemain muda.

“Ia akan menjadi cukup hebat jika Malaysia menang kumpulan kerana ia boleh membantu mengelakkan pertembungan dengan pasukan gergasi di peringkat kalah mati. Lebih penting, memenangi peringkat kumpulan akan memberi perbezaan yang cukup besar kepada skuad muda ini kerana ia akan meningkatkan keyakinan bahawa mereka boleh melakukan apa yang dianggap mustahil.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.