Pickford mohon maaf kepada Van Dijk, Gallagher akui ia sepatutnya kad merah walaupun ofsaid

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertembungan antara pendahulu Liga Perdana Inggeris Everton dan penyandang kejuaraan Liverpool dalam ‘merseyside derby’ pada Sabtu berakhir penuh dramatik dengan keputusan seri 2-2.

Tetapi yang lebih menjadi perbualan hangat adalah mengenai insiden-insiden serta kontroversi yang tercetus sepanjang perlawanan itu.

Antaranya Jordan Pickford terlepas kad merah selepas mengasari Virgil Van Dijk, Richarlison dilayangkan kad merah pada minit akhir kerana bentesan keras yang mencederakan Thiago Alcantara dan juga gol Sadio Mane yang dibatalkan selepas merujuk kepada VAR – kononnya kerana ofsaid.

Mengenai insiden antara Jordan Pickford dan Van Dijk yang berlaku seawal minit keenam perlawanan sehingga memaksa tonggak pertahanan Liverpool itu dikeluarkan dan digantikan Joe Gomez, ini reaksi Jurgen Klopp.

“Ia berlaku pantas dan saya sangka kami memenangi penalti, tetapi kemudian bendera diangkat menunjukkan sudah ofsaid. Walaupun ofsaid, bukankah insiden itu wajar dinilai kerana kekasaran yang dilakukan, tetapi ia tidak berlaku. Bayangkan tiada penalti kerana ofsaid, tetapi kami kehilangan pemain kerana kekasaran yang dilakukan itu.

“Saya boleh terima jika Pickford katakan dia tidak berniat, tetapi lihat semula, adakah itu cara penjaga gol mencabar lawan di dalam kotak penalti, dia tidak boleh sama sekali melakukan begitu, jika ia bukan ofsaid, maka 100 peratus ia adalah penalti,” kata Klopp.

Manakala bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, Dermot Gallagher, yang berpengalaman lebih 20 tahun, pula berkata Pickford sewajarnya dilayangkan kad merah.

“Ada dua situasi, situasi pertama adalah ianya ofsaid, jadi apa sahaja insiden berlaku dalam situasi ofsaid tidak akan dikira termasuklah kekasaran oleh Pickford, sebab itu tiada penalti untuk Liverpool dan Everton diberi sepakan percuma, di situ pengadil telah membuat keputusan tepat.

“Tetapi situasi kedua, adalah bermain ganas sehingga mengakibatkan kecederaan, dalam situasi ini Pickford boleh diperintah keluar padang. Saya berpendapat mungkin pengadil tidak melihat insiden dengan jelas, atau mereka melihat insiden tersebut tetapi memutuskan ia bukanlah kekasaran yang perlu dilayangkan kad,” kata Gallagher.

Pemain tengah Henderson yang dinafikan jaringan kemenangan pada minit akhir permainan, berkata Jordan Pickford ada bertemu dengannya selepas perlawanan di Goodison Park itu.

“Semua bertanya tentang insiden itu, dari pandangan mata saya ia adalah kad merah tetapi untuk meredakan ketegangan, Pickford ada datang berjumpa dan memohon maaf atas apa yang berlaku kepada Virgil, dia tahu ia sesuatu yang ganas tetapi tidak berniat dan minta saya sampaikan kepadanya,” ujar Henderson.

Foto : Premier League

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.