Pinjam Syafiq Ahmad, Kedah Tunggu Persetujuan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman (KDAFC), Khamal Idris Ali mengakui pasukan itu berminat untuk mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT).

Menurut Khamal, Syafiq Ahmad juga ada menyatakan minat untuk kembali menabur bakti bersama Kedah justeru berharap kelab selatan tanah air itu akan memberi lampu hijau.

“Kata putus kini terletak kepada pengurusan JDT dan kami berharap mereka membenarkan pemain tersebut untuk beraksi bersama kami bagi saingan musim hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kali ke-46 di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

JDT pada Isnin lalu menyatakan sedang berunding dengan beberapa pasukan Liga Malaysia untuk meminjamkan Syafiq Ahmad bagi membolehkannya meraih lebih minit permainan, setelah dia sekadar menjadi pemain simpanan bersama kelab itu musim ini.

Sebagai rekod, Syafiq Ahmad merupakan produk Piala Presiden Kedah dan pernah menyarung jersi akuad Liga Super Kedah selama tiga musim dari 2015 – 2017.

Sementara itu, Khamal ketika mengulas mengenai pengurangan bajet KDAFC dari RM30 juta kepada RM22 juta bagi tahun 2022 sepertimana diumumkan oleh Presiden KFA, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pengurangan kos tidak bermaksud kualiti yang akan ditonjolkan oleh KDA FC pada musim hadapan juga akan menurun.

Jelasnya, kebanyakan pemain-pemain muda yang telah dibawa masuk merupakan tonggak utama pasukan masing-masing pada musim ini dan telah menunjukkan prestasi yang konsisten dalam saingan Liga Super.

“Jika kita kehilangan beberapa pemain yang berhijrah namun kita berjaya mendapatkan khidmat empat hingga lima pemain baharu yang sedang meningkat naik. Mereka ini boleh mengisi kelompangan yang berada dalam pasukan.

“Saya percaya keadaan ini tidak menjejaskan prestasi semasa malah pasukan akan lebih bertenaga kerana bakal menggunakan khidmat pemain muda yang turut mempunyai pengalaman luas bersama pasukan mereka sebelum ini,” ujarnya.

Sanusi ketika sidang media selepas Kongres KFA mengatakan penjimatan sehingga RM8 juta tersebut dapat dilakukan selepas beberapa pemain yang menerima gaji tinggi sebelum ini tidak lagi bersama skuad Hijau Kuning pada musim 2022.

Menurutnya, kos operasi yang tinggi dan ditanggung oleh pengurusan KDA FC sebelum ini adalah disebabkan penetapan gaji pemain yang begitu tinggi.

Antara pemain bergaji tinggi yang telah meninggalkan pasukan adalah lima pemain import iaitu Kpah Sherman, Kipre Tchetche, Renan Alves, Rabih Ataya dan Anumanthan Kumar manakala pemain tempatan pula adalah Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.