Pinjamkan Safawi Rasid ke Portimonense satu kesilapan, satu kerugian

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kemerosotan prestasi Safawi Rasid tidak wajar dikaitkan dengan penglibatannya dengan skuad kebangsaan, sebaliknya kerana dia tidak mendapat minit permainan kompetitif yang secukupnya sepanjang dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense SC.

Itu pendapat bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail yang jelas tidak bersetuju dengan dakwaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa prestasi Safawi Rasid merudum kerana latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Justeru, Jamal Nasir berkata tindakan JDT meminjamkan pemain kelahiran Terengganu itu ke Portimonense adalah satu kerugian besar.

“Bola sepak memerlukan minit permainan dan perlawanan kompetitif. Kalau setakat pergi (ke Portugal) untuk berlatih tiada guna, ia memberi kesan (kepada persembahan pemain) kerana bola sepak ini seni.

“Safawi merosot bukan sebab siapa-siapa, dia merosot sebab tak cukup permainan kompetitif. Kalau kerana kecederaan, kita sudah ada doktor dan fisioterapi pasukan untuk memastikan sama ada dia layak atau tidak untuk dibawa (bersama pasukan),” katanya kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, Safawi Rasid menyertai kelab Liga Primeira itu secara pinjaman selama setahun bermula Oktober tahun lalu, namun hanya dua bulan selepas itu dia dipanggil pulang ke tanah air untuk kembali memperkuatkan skuad Harimau Selatan.

Jamal Nasir juga menegaskan JDT perlu menyalahkan diri sendiri jika ada pemain mereka tidak menyerlah atau bermain tidak menepati potensi kerana ia bukan tanggungjawab FAM atau pasukan negara untuk menyediakan latihan berintensiti tinggi.

“Tugas FAM adalah membentuk pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, bukan tugas mereka membuat latihan yang intensiti rendah atau tinggi. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai bekas pemain, pengurus pasukan dan pengurusan dalam persatuan bola sepak.

“Apa saja berkaitan intensiti, tahap kecergasan atau sebagainya terpulang kepada kelab masing-masing. Pasukan kebangsaan hanya membentuk persefahaman pemain dan bagi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini Harimau Malaya tidak cukup masa terutama kerana COVID-19.

“Saya tak menyalahkan FAM kerana mereka hanya memilih pemain terbaik dari kelab untuk mewakili negara. Jadi, kalau pemain bermain tak bagus, jangan salahkan bahawa latihan FAM tak betul.

“Lahirnya seseorang pemain adalah dari kelab bukan FAM. Saya cakap fakta, saya tak cakap suka-suka. Bukan saya tak suka TMJ (Tunku Ismail) atau JDT, tidak. Saya komen dari segi kenyataan, yang mesti kita terima hakikat,” katanya. 
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.