PJ City FC berputih mata gara-gara sentuhan terakhir permainan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

PJ City FC berputih mata dalam misi melakar kemenangan pertama di Liga Super 2021, setelah jaringan sendiri oleh Rafi Nagorgani menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Melaka United pada Rabu.

Skuad P.Maniam yang membariskan skuad sepenuhnya pemain tempatan mendahului 2-1 sehingga masa kecederaan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan hanya menunggu wisel penamat untuk ditiup.

Tetapi Melaka United berjaya mendapatkan sepakan percuma setelah bola terkena tangan K.Prabakaran dan ia menghadiahkan gol penyamaan buat skuad Zainal Abidin Hassan itu.

Sepakan percuma diambil Sony Norde ditanduk Faris Shah Rosli dan ia masuk ke gawang PJ City selepas terkena Rafi Nagorgani, yang juga merupakan sentuhan terakhir perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Melaka United terlebih dahulu di depan menerusi jaringan S.Kumaahran pada minit ke-55 tetapi PJ City bangkit menerusi dua jaringan penyerang kebangsaan Darren Lok pada minit ke-70 dan penalti minit ke-85.

Ia adalah keputusan seri kedua bagi kedua-dua pasukan. Melaka United seri menentang Sabah FC manakala PJ City seri tanpa jaringan menentang Perak FC dalam aksi pembukaan.

Dalam satu lagi perlawanan Liga Super, Perak FC menghadiahkan Sri Pahang FC kekalahan kedua berturut-turut, menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Darulmakmur.

Gol Perak FC bimbingan Chong Yee Fatt dijaringkan oleh J.Parthiban dan pemain pinjaman Farhan Roslan pada setiap babak permainan.

KL City FC bimbingan Bojan Hodak pula melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Uitm FC 1-0 menerusi jaringan tunggal Dominique Da Sylva.

Selepas tamat dua perlawanan, kedudukan Liga Super diterajui Johor Darul Takzim dan Terengganu FC dengan enam mata.

JDT menewaskan Pulau Pinang 2-0 manakala Terengganu FC membaham Selangor 3-1 dalam perlawanan berlangsung Selasa.

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier pula Sarawak United mencatat kemenangan kedua setelah tampil garang membelasah Perak II menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan dua jaringan Uche Agba, sekaligus mengambil alih kedudukan carta liga.

Manakala Kelantan United melakar kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC dan Terengganu FC pula diikat Kuching FC 1-1.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.