PJ City umum status Hazwan Bakri, Gary Steven dalam tempoh terdekat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali PJ City, P.Maniam belum bersedia untuk mengesahkan laporan yang mengatakan pasukan itu akan membawa masuk dua pemain Johor Darul Takzim – Ahmad Hazwan Bakri dan Gary Steven Robbat – secara pinjaman untuk memperkuatkan pasukan.

JDT sebelum ini memaklumkan akan meminjamkan pemain-pemain mereka kepada beberapa pasukan Liga Malaysia yang lain, di mana selain Hazwan Bakri serta Gary Steven, pemain lain yang disebut-sebut adalah Azrif Nasrulhaq, Ramadhan Saifullah, Syazwan Andik Ishak dan Safiq Rahim.

“Kami belum dapat mendedahkan sebarang perkembangan lagi tapi dalam masa 5-6 hari ini, kita akan dapat tahu mereka (Hazwan Bakri dan Gary Steven) akan menyertai kami atau tidak.

“Kalau tidak dapat (membawa masuk pemain baru) sekalipun, kami tetap yakin dengan skuad sedia ada apabila Mahali Jasuli dan Daren akan kembali dalam latihan.

“Kami juga memiliki Khyril (Muhymeen) dan R.Kogileswaran di bahagian serangan untuk mengisi kesebelasan utama,” kata Maniam kepada Nadi Arena.

PJ City yang mempertaruhkan sepenuhnya pemain tempatan dalam saingan musim ini agak tumpul di barisan depan selepas kehilangan sentuhan penyerang utama Darren Lok kerana kecederaan.

Mereka hanya menjaringkan 10 gol dalam 13 perlawanan, jumlah kedua terendah dalam Liga Super setakat ini dengan Uitm FC memegang rekod jaringan terburuk.

Justeru itu kehadiran Hazwan Bakri yang juga Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2016 dilihat menawarkan solusi kepada masalah mereka apatah lagi Maniam tegas menyatakan PJ City tidak akan sesekali merubah pendirian mereka untuk tidak menggunakan pemain import.

Hazwan Bakri yang mencipta nama bersama Selangor menyertai JDT pada 2017 namun kariernya tidak berkembang selepas itu apabila kurang mendapat peluang bermain dan kemudiannya ‘ditolak’ bermain dengan pasukan JDT II.

Manakala Gary Steven pula menyertai JDT lebih awal pada 2015, namun sepanjang tujuh musim dia bersama kelab itu minit permainannya boleh dibilang dengan jari dan dia juga kini bermain dengan pasukan JDT II.

Ketika ini Gary Steven juga hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United, cuma belum ada pengesahan.

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.