PKNK pertahan Presiden KFA, dedah banyak keraguan terhadap Flumen Holdings

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) tampil mempertahankan keputusan dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pembatalan pengambil alihan Kedah Darul Aman FC oleh dua syarikat swasta Flumen Holdings (FHSB) dan Go Auto.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Syed Yussof Syed Othman, terdapat banyak keraguan akan kemampuan FHSB selepas pihaknya menyelidik secara mendalam cadangan serta permintaan dibuat syarikat itu.

Antara permintaan Flumen Holdings untuk pengambil alihan berkenaan ialah dua bidang tanah milik PKNK iaitu satu berhampiran pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sungai Petani dan satu lagi di Bandar Amanjaya, Sungai Petani.

“Bagi tanah berhampiran pejabat LHDN Sungai Petani, PKNK secara lisan menawarkan dengan nilai RM25 sekaki persegi mengikut kadar nilai pasaran semasa kepada FHSB. Bagaimanapun FSHB meminta PKNK memberikan mereka harga RM10 sekaki persegi, iaitu bukan berdasarkan harga pasaran daripada penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Alasan mereka ialah baki RM15 sekaki persegi yang ditolak daripada harga mengikut nilai pasaran akan digunakan bagi tujuan membiayai KDA FC. Harga yang diminta, jika diterima sudah tentu akan menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada PKNK.

“Bagi tanah di Bandar Amanjaya, Sungai Petani pula, FHSB meminta untuk tanah itu ditukarkan daripada syarat pertanian kepada industri.

“Selepas ditukar hak pemilikan, tanah itu kemudian akan dicagarkan kepada institusi kewangan dan PKNK akan diberikan pegangan ekuiti 20 peratus dalam projek usahasama automotif yang akan dibangunkan di tapak berkenaan.

“Daripada ‘due diligence’ yang dilakukan, didapati tahap kebolehlaksanaan syarikat berkenaan untuk projek pemasangan kenderaan dari China, pemasangan kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kilang peluru untuk ATM yang dicadangkan di tapak berkenaan adalah meragukan.

“Tanah yang sedia dimiliki oleh PKNK boleh tergadai sedangkan pelaburan dalam projek usahasama yang dicadangkan itu juga meragukan seperti kata pepatah ‘yang dikendung tidak dapat, yang dikejar berciciran’,” kata Syed Yusoff kepada Harian Metro.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi memberitahu media pengambil alihan Kedah Darul Aman FC terpaksa dibatalkan kerana permintaan yang tidak dapat ditunaikan oleh KFA dan kerajaan negeri, di mana selain tanah mereka juga difahamkan meminta pemilikan Stadium Darul Aman dan Stadium Sultan Abdul Halim.

Pengerusi Eksekutif FSHB, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman bagaimanapun tampil memberi penjelasan dan mengatakan Muhammad Sanusi telah memberi gambaran yang salah mengenai permintaan mereka.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.